Noor Aziah is Suhakam commissioner for children 2019-2022 [ 7m ago ]

Penerbangan dibatal berikutan kerosakan lampu landasan Lapangan Terbang Sibu

Tarikh kemaskini: 13/08/2019
SIBU, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 12 penerbangan dibatalkan sejak 7.00 malam ini berikutan kerosakan lampu tepi landasan di Lapangan Terbang Sibu.

Daripada jumlah itu, 10 penerbangan adalah AirAsia dan dua lagi MasWings yang kesemuanya melibatkan 1,561 penumpang.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, kerosakan lampu itu dikesan kira-kira pukul 3.00 petang dan keputusan menutup landasan dari pukul 7.00 petang hingga 6.00 pagi keesokan hari adalah atas faktor keselamatan serta bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemulihan.

"Pasukan petugas telah berjaya membaik pulih sebahagian daripada lampu tepi landasan pada pukul 7.50 malam, kita terus membuka kembali landasan untuk pelepasan dan ketibaan. Namun pihak syarikat-syarikat penerbangan membuat keputusan menangguh penerbangan masing-masing sehingga esok.

"Sekarang kerja-kerja menstabilkan lampu tepi landasan yang sudah berjaya dibaikpulih itu dan keadaan akan kembali pulih sepenuhnya esok,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Sibu malam ini.

Sebuah pesawat AirAsia bagi penerbangan Sibu-Kuala Lumpur telah berlepas kira-kira 6.00 petang sebelum penutupan landasan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu