RM5.5 juta diperuntuk kepada Pusat Latihan Belia KPD-OISCA [ 4m ago ]

Usah bangkit sentimen bangsa, agama - MCCF

Tarikh kemaskini: 13/08/2019
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Masyarakat disaran tidak menggunakan sentimen bangsa dan agama berhubung kes kemalangan yang menyebabkan kematian, baru-baru ini.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak berkata sentimen agama dan bangsa semakin kerap dimainkan individu tidak bertanggungjawab di media sosial sehingga membangkitkan keresahan masyarakat.

Jika tidak dibendung, katanya, ia boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni antara kaum dan perbalahan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menegakkan aspek perpaduan dan bersikap tolak ansur serta mengamalkan budi pekerti yang mulia. Tidak perlu bergaduh untuk melahirkan rasa tidak puas hati atau kemarahan. Kita ada undang-undang yang melindungi semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Halim turut menggesa pemimpin politik supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan kerana tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan hanya akan memecahbelahkan perpaduan dalam masyarakat.

Mengenai kemalangan tersebut, MCCF berharap masyarakat menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara profesional dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Dalam pada itu, Halim berkata pengguna jalan raya harus mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan mengamalkan sikap berbudi, bertolak ansur serta berhemah ketika di jalan raya.

“Malangnya, sebahagian besar rakyat Malaysia masih dibelenggu perangai lama dan menuntut pihak yang mereka rasa bersalah untuk membayar ganti rugi segera. Mereka lupa bahawa apabila berlaku kemalangan, kita ada insuran dan laporan polis perlu dibuat,” katanya.

Sabtu lepas, seorang lelaki maut dipercayai selepas terbabit dalam pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi, di sini.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu