Noor Aziah is Suhakam commissioner for children 2019-2022 [ 6m ago ]

Pakistan minta Majlis Keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
ISLAMABAD, 14 Ogos (Bernama) -- Pakistan pada Selasa secara rasmi meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan langkah tidak sah yang diambil India baru-baru ini untuk "mengubah status quo" di wilayah utara Jammu dan Kashmir, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi berkata beliau telah menghantar surat kepada anggota Majlis Keselamatan PBB yang meminta agar mesyuarat itu diadakan secepat mungkin.

Sambil memberi amaran bahawa Islamabad akan "mengambil tindakan sewajarnya untuk mempertahan tanah airnya," Qureshi berkata beliau telah memaklumkan Majlis Keselamatan bahawa tindakan India di Kashmir telah menjejaskan keamanan serantau dan global.

Ketegangan antara Islamabad dan New Delhi -- dua musuh tradisi sejak turun-temurun -- semakin memuncak susulan langkah India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang mereka sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.

Wilayah di Himalaya itu sebahagiannya dikuasai India manakala sebahagian lagi oleh Pakistan dan dituntut secara keseluruhan oleh kedua-dua negara.

Sejak berpisah pada 1947, kedua-dua negara telah berperang sebanyak tiga kali -- pada 1948, 1965 dan 1971 -- dua daripadanya adalah kerana berebutkan Kashmir.

Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia, beribu-ribu orang telah dilaporkan terbunuh dalam konflik yang berlaku di wilayah itu sejak 1989.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu