China's commercial carrier rocket smart dragon-1 makes maiden flight [ 5h ago ]

Tarikh akhir terima permohonan TUNS pada 31 Ogos

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Datuk Seri Aminuddin Harun
SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Tarikh akhir penerimaan borang permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) adalah pada 31 Ogos ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata selepas tarikh itu semua permohonan tersebut akan disemak dan diproses.

"Bagi peringkat pertama baru-baru ini, kita telah luluskan sebanyak 211 penerima ataupun usahawan yang terpilih melibatkan dana yang diagihkan berjumlah RM623,150.52. Kita akan membuat agihan dana TUNS untuk tiga peringkat lagi pada tahun ini sebelum ianya ditutup.

"Jumlah peruntukkan TUNS keseluruhan pada tahun ini ialah sebanyak RM3 juta. Tahun hadapan kita akan buka semula TUNS...insya Allah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan seramai 1,000 orang usahawan kecil akan menerima dana TUNS pada tahun ini.

"Tahun depan pun lebih kurang begitu, tetapi kita tengok dulu bagaimana sambutan dan keperluannya kepada usahawan kecil negeri ini," katanya.

Tabung ini diwujudkan khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Sembilan di mana usahawan mikro didefinisikan sebagai usahawan yang jualan tahunannya tidak melebihi RM300,000.00 setahun atau jumlah pekerja sepenuh masa kurang daripada lima orang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata permohonan merancang bagi industri ternakan ayam di negeri ini yang sepatutnya berakhir pada Jun lepas telah dilanjutkan kepada 31 Disember depan.

Katanya langkah ini adalah untuk memastikan industri ternakan ayam tidak terencat memandangkan ini merupakan salah satu industri utama negara.

"Selain itu, kita hendak pengusaha industri ternakan ayam ini membuat permohonan kepada kerajaan negeri dan kita juga memaklumkan bahawa syarat juga diketatkan kerana kita tidak ingin melihat keadaan kacau ganggu iaitu membabitkan masalah bau busuk, pencemaran, lalat dan sebagainya,” tegas beliau.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu