Hujan lebat akibatkan tebing jalan kawasan perumahan di Kulai runtuh [ 2h ago ]

Bedah siasat Nora Anne dijangka selesai 8 malam

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Bedah siasat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, dijangka selesai pukul 8 malam ini, kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman.

“Saya nak maklumkan, bedah siasat masih lagi berjalan, dijangka siap dalam pukul 8 malam... anggaran lebih dua jam lagi,” katanya kepada pemberita di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, di sini, hari ini.

Proses bedah siasat bermula pukul 10 pagi oleh pakar patologi dari Kuala Lumpur dan sidang media dijangka diadakan sejurus proses bedah siasat selesai.

Petugas media tempatan dan antarabangsa yang dianggar 50 orang, setia menunggu perkembangan dari semasa ke semasa. Terdahulu petugas media dimaklumkan, sidang media akan diadakan pukul 5 petang.

Nora Anne dilapor hilang dari tempat penginapan keluarganya, The Dusun Resort di Pantai, Seremban, pada 4 Ogos.

Selepas 10 hari hilang, mayat remaja anak istimewa itu ditemui pada pukul 1.57 tengah hari semalam dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu