Mitra provides IR4.0 training for benefit of Indian community [ 2h ago ]

Isu Zakir Naik dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Dua menteri persekutuan telah membangkitkan isu kehadiran pendakwah Dr Zakir Naik di Malaysia dan kenyataannya yang disifatkan sebagai kontroversi, dalam Kabinet dan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dalam kenyataan bersama berkata mereka telah menyuarakan pendirian mereka bahawa tindakan mesti diambil dan Zakir tidak boleh lagi dibenarkan tinggal di Malaysia.

"Perdana menteri mengambil maklum kebimbangan kami. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkannya dan membuat keputusan dengan segera mengenai apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah ini," kata mereka.

Gobind dan Kula Segaran juga mengulangi kebimbangan yang dibangkitkan banyak pihak terhadap ucapan dan kenyataan Zakir yang dikatakan menimbulkan kontroversi.

“Oleh itu, kami mengemukakan bantahan terhadap Zakir Naik, daripada mengadakan sebarang acara di Malaysia atau membuat kenyataan lanjut yang memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam," kata mereka.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah Zakir tidak boleh dihantar balik ke negara asalnya, India, kerana bimbang dibunuh.

Bagaimanapun, beliau terbuka kepada sebarang cadangan untuk menghantar Zakir ke mana-mana negara yang mahu menerima penceramah itu.

Antara kenyataan kontroversi Zakir ialah semasa ceramahnya pada 3 Ogos di mana beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir.





-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu