EKONOMI

PERANG PERDAGANGAN AS-CHINA, PENGEKSPORT TEMPATAN DIGESA AMBIL KESEMPATAN - MATRADE

16/08/2019 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Negara-negara di Asia Barat, Asia Tengah, Afrika dan Asean dilihat mampu menjadi prospek terbaik buat pengeksport di negara ini untuk mengembangkan pasaran mereka terutamanya ketika prestasi eksport global yang agak lembab berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, pengeksport tempatan boleh mengambil kesempatan dengan meneroka pasaran dalam sektor makanan dan minuman diproses, elektrik dan elektronik dan produk berasaskan getah memandangkan sektor ini menunjukkan peningkatan. 

"Saya sebutkan produk makanan diproses sebab banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri ini. Jadi, mereka perlu terus menyertai menyertai program-program yang dianjurkan Matrade untuk mempromosikan produk mereka di pasaran antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 anjuran MATRADE, di sini, hari ini. 

Wan Latiff berkata, Matrade akan sentiasa membantu syarikat tempatan mencari pasaran baharu dengan memberi maklumat risikan pasaran serta memadankan syarikat Malaysia dengan pembeli yang berkualiti tinggi di seluruh dunia memandangkan ia mempunyai lebih 46 pejabat di seluruh dunia yang memberi akses pasaran kepada perusahaan di negara ini. 

Menurutnya, walaupun situasi eksport di negara ini agak perlahan, Matrade masih melihat eksport ke AS, Taiwan, Thailand, Filipina dan Mexico masih tetap meningkat terutamanya yang melibatkan produk elektronik. 

"Jadi kita tidak mahu pengeksport kita hanya 'lay back' (bersenang-lenang) tanpa berbuat apa-apa sedangkan pesaing kita giat membuat pelbagai promosi untuk meningkat dan meluaskan pasaran mereka," katanya.

Dalam pada itu, Wan Latiff berharap sambutan bulan kemerdekaan ke-62 akan meniupkan semangat patriotisme di kalangan warga MATRADE dan berharap erti kemerdekaan itu dapat dihayati. 

"Sempena bulan kebangsaan ini, kami telah merancang enam program bagi merancakkan lagi sambutan iaitu antaranya program kibar jalur gemilang di kenderaan pegawai MATRADE, program laungan kemerdekaan sempena perhimpunan MATRADE bagi bulan Ogos, Wall of Expression-MyMerdeka Statement serta pertandingan dekorasi pejabat di setiap tingkat Menara MATRADE," katanya.

--BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan