TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 1h ago ]

4 anggota tentera Pakistan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

Tarikh kemaskini: 16/08/2019
NEW DELHI, 16 Ogos (Bernama) -- Sekurang-kurangnya empat anggota Tentera Pakistan terbunuh dalam tempoh 24 jam lepas ketika bertempur dengan tentera India di wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian dan terletak antara sempadan kedua-dua negara, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan Tentera Pakistan.

Pakistan mendakwa pertempuran itu menyebabkan pelbagai kecederaan dan menambah bahawa kubu-kubu telah dimusnahkan.

Islamabad menuduh tentera India memulakan pertempuran itu dan berkata lima tentera musuh terbunuh ketika berbalas tembakan. Bagaimanapun, New Delhi telah menyangkal maklumat itu.

Presiden India Ram Nath Kovind menandatangani satu dekri pada 5 Ogos yang membatalkan Perkara 370 Perlembagaan India yang telah melindungi status istimewa negeri Jammu dan Kashmir.

Di bawah inisiatif baharu kerajaan India, Jammu dan Kashmir akan dipecah kepada dua wilayah. Ini telah mencetuskan kemarahan Islamabad yang mengurangkan hubungan diplomatik dan menggantung perdagangan dengan jirannya itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu