TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 1h ago ]

Naib Menteri Sukan Korea Utara batal rancangan lawat Jepun

Tarikh kemaskini: 17/08/2019
SEOUL, 17 Ogos (Bernama) -- Naib Menteri Sukan Korea Utara telah membatalkan rancangannya untuk melawat Jepun minggu ini bagi menghadiri mesyuarat berkaitan Sukan Olimpik Tokyo 2020, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan media Jepun pada Sabtu.

Won Kil U dan dua pegawai telah merancang untuk melawat Tokyo dari Selasa hingga Khamis namun kemudian bertindak membatalkannya, lapor Kyodo News memetik kenyataan beberapa sumber kerajaan.

Bagaimanapun, menurut Kyodo News, alasan bagi pembatalan itu tidak diketahui.

Jepun telah mengharamkan kemasukan rakyat Korea Utara selaras sekatan unilateralnya ke atas Pyongyang susulan program nuklear dan peluru berpandunya.

Bagaimanapun Tokyo bercadang untuk meluluskan lawatan delegasi Won dengan menganggap sukan dikecualikan daripada sekatan itu.

Korea Utara telah memutuskan untuk tidak menghantar atletnya ke Kejohanan Judo Dunia yang berlangsung di Tokyo mulai 25 Ogos, lapor Kyodo News.

Pada mulanya Korea Utara merancang untuk menghantar delegasi 15 anggota ke kejohanan itu namun telah memaklumkan pembatalannya kepada kerajaan Jepun baru-baru ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu