TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 1h ago ]

Pendengaran permohonan semakan Najib terhadap perintah penangguhan dijadual semula 4 Dis

Tarikh kemaskini: 19/08/2019
PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Pendengaran permohonan semakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan perintah bagi penangguhan sementara perbicaraan SRC International Sdn Bhd, dijadualkan semula ke 4 Disember.

Peguam Najib, Syahirah Hanapiah berkata mahkamah telah menjadualkan semula pendengaran semakan itu yang pada mulanya ditetapkan 4 Sept.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri pengurusan kes berhubung perkara itu di hadapan timbalan pendaftar Azniza Mohd Ali dalam kamar hari ini.

Beliau berkata pasukan pembelaan berhasrat untuk meneruskan permohonan semakan itu atas dasar prinsip sekalipun kes pendakwaan dalam perbicaraan SRC hampir sampai ke penghujungnya.

Timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn hadir bagi pihak pendakwaan dalam prosiding pengurusan kes hari ini.

Pada 27 Mac tahun ini, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum (kini bersara) mengetepikan perintah penangguhan prosiding yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Feb tahun ini kepada Najib sehingga selesai rayuannya mengenai perkara interlokutorinya.

Najib, 66, menghadapi tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Perbicaraan beliau sedang berlangsuing di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib dituduh melakukan pecah amanah jenayah di AmIslamic Bank Berhad, bangunan Kumpulan Ambank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Dis, 2014, dan 29 Dis, 2014, dan bagi tuduhan pengubahan wang haram, beliau dituduh melakukannya di tempat yang sama antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb, 2015.

Bagi dakwaan menggunakan kedudukannya melakukan rasuah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos, 2011, dan 8 Feb, 2012.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu