Topeng muka perlu ditukar atau dicuci selepas pakai empat ke enam jam [ 1m ago ]

Pesona Kampong Ayer pikat hati Al-Sultan Abdullah

Tarikh kemaskini: 19/08/2019
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli mengunjungi rumah masyarakat Kampong Ayer hari ini sempena Lawatan Negara ke Brunei selama tiga hari bermula semalam.
Oleh Siti Radzeah Rahmat

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei), 19 Ogos (Bernama) -- Keunikan dan keindahan suasana serta seni bina rumah di Kampong Ayer memukau pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang kelihatan teruja melihat kehidupan masyarakat di perkampungan itu.

Kunjungan Seri Paduka ke perkampungan air, yang terkenal dengan gelaran Venice of the East, hari ini adalah sebahagian daripada atur cara rangka Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong di Brunei, selama tiga hari bermula semalam.

Terletak di tepian Sungai Brunei, Kampong Ayer antara tarikan utama pelancong kerana ia sebuah pemukiman penduduk di atas air terbesar di dunia, yang wujud lebih 500 tahun dahulu.

Seri Paduka berkenan berangkat memudiki sungai ke perkampungan itu menaiki perahu tambang yang menjadi pengangkutan utama ke penempatan berkenaan dan menghubungkan 13 buah kampung atas air di situ yang kepadatan penduduknya 15,000 orang.

Ketibaan Sultan Abdullah dan rombongan disambut Ketua Kampong Ayer, Ahmad Bujang, 73, dan kemudiannya diiringi ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer.

Meluangkan masa kira-kira sejam di perkampungan itu, Seri Paduka turut berkenan mencemar duli mengunjungi rumah ketua kampung itu dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

Sambutan lawatan julung kali Seri Paduka dimeriahkan dengan persembahan pertunjukan kebudayaan dan tradisional masyarakat setempat.

Terdahulu, Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja di sini.

Dalam lawatan itu, Seri Paduka berdua berkenan melawat Galeri Pameran Diraja dan Galeri Jubli Perak. Muzium yang dirasmikan Sultan Brunei pada 30 Sept 1992 bersempena majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun Sultan Hassanal menaiki takhta.

Reka bentuk bangunan Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja itu menggabungkan ciri-ciri konsep Melayu Islam Beraja dan mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja Negara Brunei Darussalam.

Dalam atur cara berasingan, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan di Kampung Subok di sini, melawat beberapa bahagian di pusat itu antaranya tenunan, seni ukir, keris, tasbih dan anyaman.

Tunku Azizah kemudian turut berangkat melawat Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Brunei.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu