Lebih 1,700 tan metrik makanan disumbang melalui Food Bank Malaysia [ 3m ago ]

Sarawak serius tangani sisa pepejal secara holistik

Tarikh kemaskini: 20/08/2019
Sarawak
KUCHING, 19 Ogos (Bernama) - Kerajaan negeri Sarawak memandang serius tentang pengurusan sisa pepejal secara holistik dalam usaha menjaga kemampanan alam sekitar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata justeru, adalah penting sisa pepejal diasingkan mengikut kategorinya agar dapat dikitar semula sekali gus dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

“Dalam erti kata lain, kita perlu menggunakan kaedah baharu iaitu dengan melibatkan penggunaan teknologi yang mampu mengesan jenis-jenis sampah yang boleh dikitar semula atau sebaliknya.

“Justeru, kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Waste Management Sdn Bhd cuba mencari kaedah baharu dalam pengurusan sisa pepejal berbahaya untuk diproses menjadi sumber dan bahan berguna kepada negara dan melestarikan alam sekitar ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-20 Treineken (Sarawak) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Oleh itu, kata Abang Johari Sarawak kini berusaha untuk mengadaptasi teknologi yang boleh memproses sisa buangan pepejal kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu