Senyuman sukarelawan lapangan terbang berjaya tenangkan penumpang - Raja Azmi [ 3h ago ]

Zakir beri keterangan kali kedua selama 10 jam di Bukit Aman

Tarikh kemaskini: 20/08/2019
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selama 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sehingga lewat malam ini.

Pendakwah kontroversi berusia 54 tahun itu dilihat meninggalkan Bukit Aman dengan menaiki kereta jenis Toyota Innova pada jam 1.30 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, ketika dihubungi berkata Zakir tiba di Bukit Aman pada jam 3.15 petang dengan diiringi oleh peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir.

Beliau berkata Zakir sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Polis merakamkan kenyataan penceramah bebas dari India itu, yang mendapat status pemastautin tetap di Malaysia, buat kali pertama selama lima jam Jumaat lepas.

Zakir dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu