Jerebu: kedatangan pelancong ke Bukit Bendera terjejas [ 8m ago ]

Sultan Terengganu sempurnakan pemakaian pangkat dua anakanda

Tarikh kemaskini: 20/08/2019
Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail (dua, kanan) dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az (dua, kiri) pada Perbarisan Pemakaian Pangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Sri Setia Diraja di Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin hari ini. Pemakaian pangkat disempurnakan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos -- Dua anakanda Sultan Terengganu, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az, hari ini masing-masing dipakaikan pangkat Leftenan dan Leftenan Muda.

Majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan Sultan Mizan Zainal Abidin di padang kawad, Rejimen 512 Askar Wataniah di sini.

Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah disambut Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri.

Turut berangkat ke majlis itu ialah dua lagi anakanda baginda iaitu Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Majlis ringkas itu diselitkan dengan acara perbarisan yang dianggotai pegawai dan anggota Rejimen 512 Askar Wataniah, diketuai Pegawai Pemerintah Batalion Kedua Rejimen 512 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Saifulddin Mahmod.

Acara dimulakan dengan pentauliahan pangkat Leftenan Kor Rejimen Askar Wataniah kepada Tengku Muhammad Ismail dan susuli pentauliahan pangkat Leftenan Muda kepada Tengku Muhammad Mua'az dalam rejimen yang sama.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az telah menyertai latihan ketenteraan di bawah latihan Pegawai Sukarela yang bermula pada 6 Ogos lepas dan berakhir hari ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu