Malaysia harap Indonesia segera tangani kebakaran hutan [ 14m ago ]

Zakir Naik pohon maaf atas kenyataan menyinggung perasaan

Tarikh kemaskini: 20/08/2019
KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Pendakwah Islam Dr Zakir Naik memohon maaf kepada pihak yang rasa tersinggung akibat kenyataan kontroversinya terhadap warga Hindu dan Cina Malaysia dalam satu ceramah di Kota Bharu pada 8 Ogos.

Zakir berkata beliau tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana individu atau komuniti dan berharap rakyat Malaysia tidak menyimpan rasa sakit hati terhadap beliau.

"Sekalipun saya telah memberi penjelasan, namun saya rasa perlu memohon maaf kepada setiap orang yang rasa tersinggung akibat salah faham ini.

"Ini bertentangan dengan rukun Islam, dan saya ingin menyampaikan permohonan maaf dari lubuk hati saya atas salah faham ini,” katanya dalam satu kenyataan bertarikh semalam.

Zakir menjalani sesi soal siasat selama 10-jam semalam di Bukit Aman berikutan kenyataannya yang dianggap provokatif.

Beliau pertama kali disoal siasat pada Jumaat lepas berikutan kenyataannya yang dipertikaikan dibuat dalam ucapannya terhadap masyarakat Hindu dimana beliau memperoal kesetiaan mereka kepada negara ini dan ‘menghina’ komuniti Cina sebagai ‘tetamu lama” di Malaysia.

Pendakwah dari India yang sering berceramah di televisyen itu, yang juga pemastautin tetap (PR) di Malaysia, disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dengan niat memprovokasi keadaan aman.

Zakir juga dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram dan menghasut sikap extremisme menerusi ucapan berbaur kebencian.

Sementara itu, Zakir tetap dengan dakwaannya menegaskan bahawa beliau dituduh menyebabkan pergeseran kaum di Malaysia dan pengkritiknya sering menggunakan ayat-ayat dari ucapannya yang dipilih di luar konteks sambil menambah pemalsuan padanya.

"Ini, bagaimanapun menyedihkan saya, kerana seluruh episod ini telah menyebabkan ramai bukan Islam fikir saya seorang rasis. Ini juga merisaukan saya kerana orang yang tersinggung belum pernah mendengar ucapan saya tetapi anggapan mereka itu hanya berasaskan ayat-ayat yang diambil di luar konteks daripada saya,” kata Zakir.

Beliau berkata, orang ramai perlu meluangkan masa mendengar ceramah beliau secara keseluruhannya di YouTube, Peace TV, dan aplikasi mobile Peace TV untuk memahami sepenuhnya mesej beliau dan mengelak salah faham.

Berikutan reaksi negatif terhadap ucapan/ceramahnya pada 8 Ogos, pihak berkuasa agama di Perlis, Melaka dan Sarawak melarang pendakwah itu memberi ceramah di tempat mereka.

Polis telah juga mengenakan larangan berucap terhadap pendakwah itu di mana-mana saja di seluruh negara.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu