Topeng muka perlu ditukar atau dicuci selepas pakai empat ke enam jam [ 1m ago ]

Polis tahan lelaki OKU jadikan rumah sebagai 'port' pengedaran dadah

Tarikh kemaskini: 20/08/2019
ALOR SETAR, 20 Ogos -- Polis menahan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) setelah disyaki menjadikan rumahnya di Kampung Bukit Choras dekat Pendang sebagai tempat membungkus dan mengedar dadah sejak dua bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki lumpuh sebelah badan berumur 36 tahun itu yang masih bujang, ditahan kira-kira 1.30 petang berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya sebelum ini.

“Ketika serbuan, suspek duduk di atas katil sebuah bilik dan pemeriksaan menemui beg kain warna hitam dan di dalamnya terdapat dua paket plastik besar lutsinar dan 18 keratan straw berisi heroin seberat 22.1 gram bernilai RM670, tiga paket dan satu keratan straw berisi syabu seberat 1.7 gram bernilai RM225, dan keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM895.

“Turut ditemui ialah alat penimbang, sebilah gunting, pemetik api, lima keping plastik lutsinar kosong dipercayai untuk digunakan membungkus dadah, sekeping kad OKU dan kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek lumpuh sebelah kanan badan selepas dipercayai terbabit kemalangan jalan raya pada 2007 lepas, dan hanya duduk di rumah sambil menunggu penagih datang mendapatkan bekalan.

“Suspek juga didapati positif morfin selepas ujian air kencing dijalankan dan dia ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama,” katanya dan semakan rekod lampau mendapati lelaki itu turut memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu