Perluas pasaran hospital swasta tarik pelancong perubatan ke Melaka [ 14m ago ]

Empat pengarah MGSB mengaku salah selepas mengambil deposit serta pengubahan wang haram

Tarikh kemaskini: 23/08/2019
KUALA LUMPUR, 23 Ogos -- MGSB Bhd dan empat pengarahnya mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kajang semalam, terhadap tuduhan menerima wang daripada pendeposit tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) serta terlibat dalam aktiviti wang haram.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), MGSB dan pengarah-pengarahnya telah didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta FSA 2013 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

BNM dalam satu kenyataan berkata MGSB turut didenda RM5 juta bagi dakwaan di bawah Seksyen 137(1) FSA.

Sementara itu, pengarah-pengarahnya, Hisyamuddin Che Ali dan Ahmad Zalimi Mohd Ali, masing-masing dihukum sehingga dua tahun penjara dan didenda RM1 juta (penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda) manakala Halimatun Saadiah Che Omar dihukum penjara setahun dan didenda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda).

MGSB juga didenda RM288 juta di bawah Seksyen 4(1) AMLA.

Pengarah lain yang terlibat, Ahmad Zalimi, Halimatun dan Nur Ain Aliana Mat Azmi setiap seorang telah dihukum penjara dua tahun bagi setiap tiga tuduhan dan didenda sebanyak RM288 juta (penjara satu tahun jika gagal).

Hisyamuddin dihukum penjara selama satu tahun bagi setiap lima pertuduhan dan didenda RM298 juta (penjara satu tahun jika gagal membayar denda).

BNM turut mengingatkan orang ramai agar tidak meletakkan apa-apa wang atau deposit dengan institusi-institusi yang tidak berlesen atau melibatkan diri dalam apa-apa bentuk skim cepat kaya untuk mengelakkan kehilangan wang mereka.

Senarai Institusi-institusi yang dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM untuk menerima deposit boleh didapati di laman www.bnm.gov.my.

Orang ramai juga boleh mengakses maklumat yang berkaitan dengan skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh BNM pada laman sesawang Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu