Produk Malaysia dapat perhatian dalam kalangan 1.4 bilion pengguna di China [ 4m ago ]

Kerajaan akan kaji dakwaan pakar PBB mengenai kadar kemiskinan - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 23/08/2019
PETALING JAYA, 23 Ogos -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji dakwaan yang dibuat oleh pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kadar kemiskinan di negara ini.

“Kita akan mengkaji apa yang mereka katakan untuk mengetahui sama ada ia benar atau tidak,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal dan ulang tahun ke-4 MyPerintis di sini, malam ini.

Pelapor Khas PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston dilaporkan berkata bahawa angka rasmi mengenai kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Alston dipetik sebagai berkata bahawa angka rasmi bergantung pada langkah-langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap yang sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan yang semakin tinggi.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengubah kaedah untuk mengukur tahap kemiskinan susulan dakwaan itu, Dr Mahathir berkata: "Sekiranya perlu, kita akan berbuat demikian."

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu