Senyuman sukarelawan lapangan terbang berjaya tenangkan penumpang - Raja Azmi [ 3h ago ]

Agensi terlibat pengurusan bencana perkemas sistem amaran awal - Wan Azizah

Tarikh kemaskini: 24/08/2019
Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama ibu dan bapa Allahyarhamah Marziah Che Omar, Antilah Mat Isa (tiga, kanan) dan Che Omar Hamid (kanan) ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa Taufan Lekima.
JITRA, 24 Ogos -- Semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana diminta supaya memperkemaskan lagi sistem amaran awal bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat ditingkatkan setiap kali menghadapi sebarang bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sistem yang lebih pantas dan berkesan dalam mengesan bencana sangat penting bagi memastikan maklumat segera sampai kepada semua pihak agar persediaan dapat dilakukan secukupnya.

"Saya diberitahu semasa kejadian (ribut akibat Taufan Lekima) baru-baru ini, pihak MET (Jabatan Meteorologi Malaysia) ada keluarkan amaran, namun pada masa itu nelayan sudah turun ke laut.

"Keadaan sebelum itu aman, tidak ada apa-apa dan amaran ribut dikeluarkan selepas itu, mereka (nelayan) dah ada di laut," katanya kepada pemberita selepas menziarahi kediaman keluarga Marziah Che Omar, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa kejadian Lekima pada 9 Ogos lepas di Taman Bersatu di sini, hari ini.

Beliau turut menemui keluarga Azimat Hasan, 62, yang meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh dari bot fiber akibat keadaan cuaca buruk dan laut bergelora di perairan berhampiran Jeti Tok Arab, dekat Jerlun pada hari sama.

Wan Azizah juga turut meluangkan masa meninjau keadaan rumah dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada seorang penduduk, Saad Doon, 61, di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong dekat sini yang kediamannya terjejas teruk akibat ribut sama.

Sementara itu, menurut Wan Azizah mesyuarat Kabinet pada 14 Ogos lepas juga bersetuju menyalurkan peruntukan RM17.025 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas akibat ribut berkenaan.

"Peruntukan ini digunakan untuk membiayai perolehan sama ada barangan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan kerja membaik pulih kediaman mengikut penilaian kerosakan," katanya.

Setiap keluarga yang terjejas akibat Lekima juga menerima wang ihsan berjumlah antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan rumah masing-masing.

"Bantuan ini ihsan Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mangsa dan bukanlah sebagai ganti rugi kerana kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kesedihan akibat bencana seumpama ini tidak ada ganti rugi yang mampu dibayar," katanya.

Dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang akibat Taufan Lekima itu, tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Pahang terlibat, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Di Kedah, 2,325 rumah dan lebih 70 sekolah termasuk kuarters guru terkesan manakala dua nyawa terkorban.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu