Lebih 1,700 tan metrik makanan disumbang melalui Food Bank Malaysia [ 3m ago ]

India umum langkah untuk rangsang kelembapan ekonomi

Tarikh kemaskini: 24/08/2019
Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 24 Ogos -- India mengumumkan beberapa langkah, termasuk pemberian insentif berbilion-bilion dolar ke dalam sistem perbankan untuk merangsang ekonominya yang lembap serta mewujudkan pekerjaan.

Kerajaan berkata pada Jumaat ia telah memutuskan untuk menarik balik surcaj yang dinaikkan baru-baru ini ke atas keuntungan modal jangka panjang dan jangka pendek bagi menggalakkan pelaburan portfolio asing, serta akan menyediakan lebih banyak dana kepada institusi kewangan bagi kredit pengguna.

Rangsangan untuk bank-bank milik negara itu termasuk suntikan tunai kira-kira US$9.8 bilion, manakala syarikat pembiayaan perumahan akan menerima sokongan mudah tunai sebanyak US$ 2.8 bilion.

Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman berkata rangsangan mudah tunai itu dijangka menjana pinjaman kepada perniagaan dan peminjam runcit selain menggalakkan penggunaan.

Beliau berkata ekonomi India terus menunjukkan prestasi lebih baik daripada beberapa negara lain.

Perniagaan India dan parti-parti pembangkang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kelembapan ekonomi.

Contoh terbaik ialah dalam sektor automotif, yang menyaksikan Julai sebagai bulan paling buruk dalam tempoh 19 tahun dalam jualan kenderaan penumpang.

Angka jualan kenderaan merosot 21.5 peratus antara April dan Julai berbanding tempoh yang sama tahun lepas, manakala Julai angkanya sebanyak 31 peratus.

Kehilangan pekerjaan dalam sektor automotif dianggarkan lebih daripada 350,000 ekoran pengurangan pengeluaran.

Sebuah kilang biskut terkemuka di India, mungkin akan membuang 10,000 pekerja ekoran permintaan yang semakin merosot di kawasan luar bandar, manakala ketua sebuah syarikat produk makanan utama berkata pengguna akan berfikir dua kali untuk membeli walaupun satu paket hanya bernilai lima rupees (RM0.30 sen), menurut laporan media.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu