Senyuman sukarelawan lapangan terbang berjaya tenangkan penumpang - Raja Azmi [ 3h ago ]

Mohd Shafie harap Proton wujudkan kilang pemasangan di Sabah

Tarikh kemaskini: 24/08/2019
KOTA KINABALU, 24 Ogos – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap pengeluar kereta nasional, Proton mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di Sabah.

Beliau berkata banyak sebab kenapa syarikat berkenaan perlu mewujudkan kilang pemasangan di Sabah termasuk kedudukan negeri ini yang berhampiran dengan Jepun, China, Hong Kong, selain dekat dengan Ibu negara Indonesia yang bakal dipindahkan di Kalimantan.

“Sabah juga bakal mewujudkan pelabuhan antarabangsa di Kudat dan ia secara tidak langsung menjadikan Sabah sebagai tempat yang paling sesuai untuk didirikan kilang pemasangan Proton.

“Dengan adanya kilang pemasangan itu, akan wujud peluang pekerjaan di Sabah khususnya dalam bidang automotif,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat 4S (menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat) Proton terbesar pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah komited untuk mewujudkan sekolah dan kolej teknikal dan vokasional.

“Kita akan pastikan melalui sekolah dan kolej teknikal ini kita akan dapat meningkatkan kemahiran anak-anak di negeri ini, seterusnya dapat menjadi tenaga kerja khususnya dalam bidang automotif,” tambahnya.

Sementara itu, Proton dalan satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis itu berkata, Pusat 4S Proton berkenaan adalah yang terbesar di Malaysia dan ia dibuka oleh syarikat Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu