Pemaju perumahan di Sabah digalak dapatkan pinjaman daripada Sabah Development Bank [ 4m ago ]

Dr Mahathir lawat Vietnam esok

Tarikh kemaskini: 25/08/2019
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam mulai esok, lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut lawatan rasmi terakhir Dr Mahathir ke Vietnam adalah pada tahun 1996.

Menurut kenyataan itu, perdana menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama-sama Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, dan kedua-dua pemimpin akan berbincang mengenai kerjasama dua hala Malaysia-Vietnam, di samping isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.

Dr Mahathir juga akan menghadiri majlis pertemuan dengan diaspora Malaysia serta bertemu dengan syarikat Malaysia yang melabur di Vietnam.

"Vietnam merupakan rakan kongsi yang penting kepada Malaysia. Lawatan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mempertingkatkan hubungan dua hala yang sedia terjalin, serta memperkukuhkan lagi komitmen yang telah digariskan dalam Rangka Rakan Perkongsian Strategik, yang ditandatangani pada Ogos 2015.

"Hubungan dagangan dan pelaburan Malaysia-Vietnam amat teguh. Pada 2018, nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah US$13.3 bilion, menjadikan Malaysia rakan dagang ke-8 terbesar Vietnam,” jelas kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra bagi suku pertama 2019, dagangan dua hala meningkat sebanyak 1.18 peratus kepada US$4.27 bilion, berbanding tempoh sama pada 2018.

Sehingga kini, Malaysia merupakan pelabur asing ke-8 terbesar di Vietnam, dengan jumlah pelaburan bernilai US$12.48 bilion sehingga penghujung 2018.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc

Semasa lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, selain pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu