AM

LIMA SYARIKAT TEMPATAN DI SELANGOR DIPILIH BAGI PROGRAM SAY ASPIRE

26/08/2019 08:27 AM

PETALING JAYA, 25 Ogos -- NIQA (produk pembersihan), Palm Fiber (industri farmaseutikal), Potonguler (makanan dan minuman), iLuvQuran (pendidikan) dan Citarasa Milenium (makanan dan minuman) muncul lima pemenang pertandingan perniagaan SAY ASPIRE 2019.

Ketua Pegawai Operasi Komuniti Belia Selangor (SAY), Dr Mohd Zulikhwan Ayub berkata berikutan pengumuman itu, ia berharap dapat mencipta program peribadi atau intervensi untuk membantu syarikat-syarikat (usahawan) mengembangkan perniagaannya.

"Dalam SAY,  kami tidak mempunyai tempoh masa yang tepat, selagi mereka memenuhi hasil yang kami tawarkan kepada mereka, kami lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan mereka untuk jangka masa yang lebih lama.

"Kami menetapkan hasil apabila mereka perlu meningkatkan pendapatan sebanyak 20 peratus atau menembusi sekurang-kurangnya satu pasaran luar negara, kami berusaha ke arah itu. Jadi, akhirnya, apa yang kami mahukan adalah untuk meningkatkan jualan mereka dan mengembangkan perniagaan mereka di peringkat global, " katanya ketika ditemui selepas acara itu di sini hari ini.

Tiga bulan lalu, sejumlah 154 syarikat di Selangor memohon SAY ASPIRE dan hanya 11 syarikat yang berjaya melepasi peringkat akhir sebelum lima syarikat dipilih.

SAY ASPIRE adalah program pengembangan perniagaan untuk syarikat menembusi pasaran luar negara melalui pengembangan perniagaan dan strategi eksport dengan matlamat terakhir menjadi pemain global.

Pada masa ini, SAY ASPIRE menyasarkan untuk menembusi Bahrain, Thailand dan Brunei.

Menurut Dr Mohd Zulikhwan, lima syarikat di senarai teratas antara lain akan mendapat akses kepada pasukan perolehan, peluang untuk bersaing untuk pelaburan, lawatan bagi menembusi pasaran luar negara yang matlamat utama ialah untuk mengeksport produk ke luar negara, rangkaian kerjasama, dan bimbingan serta mentor oleh usahawan berpengalaman dan pakar industri.

Terdahulu, kesemua 11 usahawan diberi peluang lima minit untuk menerangkan tentang model perniagaan, produk dan aspirasi untuk menembusi pasaran asing.

Pengasas Say, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah salah seorang hakim yang mendengar idea itu bersama Rakan Pengurusan Bersama RHL Ventures Raja Hamzah Abidin, Ketua Pegawai Operasi Segi Value Holdings Sdn Bhd Fong Leong, Pengeksport Terbesar Musang King Malaysia Anna Teoh, Ketua Evangelis & Master Coach Proficeo Dr Sivapalan Vivekarajah, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Pengarah Kanan Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Amran Yem.

SAY ASPIRE adalah inisiatif oleh Keusahawanan Selangor di bawah Komuniti Belia Selangor dengan kerjasama Proficeo, Kumpulan Sunway dan Menteri Besar (Diperbadankan) Selangor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan