Pelajar Malaysia digalak sertai program Space Camp di AS [ 5h ago ]

IPP Malaysia' susut pada Ogos, namun unjuran yang lebih baik

Tarikh kemaskini: 03/09/2019
KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Indeks utama Pengurus Pembelian Pembuatan (IPP) IHS Markit Malaysia, petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, susut kepada 47.4 pada Ogos daripada 47.6 pada Julai.

Dalam kenyataan, IHS Markit berkata pada tahap semasa, IPP secara meluas menunjukkan pertumbuhan tahunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kira-kira 4.5 peratus.

Ahli ekonomi IHS Markit, Chris Williamson berkata bacaan IPP Malaysia yang suram baru-baru ini sebahagiannya mencerminkan ketegangan perdagangan global semasa, yang telah menyebabkan perkembangan ekonomi global yang lemah.

"Kajian IPP di seluruh dunia menunjukkan pertumbuhan KDNK paling perlahan di seluruh dunia dalam tempoh tiga tahun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, yang didorong oleh pengeluaran perkilangan yang merosot.

"Namun, pengeluar di Malaysia semakin optimis bahawa perubahan akan berlaku dan permintaan akan kembali mengukuh dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Tahap tempahan baharu yang diterima daripada pasaran luar terhenti dalam tempoh tinjauan terkini, menyumbang kepada kelemahan berterusan dalam Indeks Pesanan Baharu ekoran tekanan persaingan yang sengit, kurangnya tempahan daripada pelanggan dalam pasaran eksport utama dan kebimbangan perang perdagangan global yang menyumbang kepada penyusutan jualan.

Bagaimanapun, ahli ekonomi memperlihatkan keyakinan mereka terhadap prospek dalam tempoh 12 bulan akan datang pada Ogos, dengan keyakinan perniagaan mengukuh pada tahap tertinggi sejak Oktober 2013.

"Aktiviti promosi terancang, produk baharu, usaha berterusan dan unjuran permintaan domestik dan luaran yang bertambah baik, akan meningkatkan sentimen, katanya.

"Selari dengan unjuran jualan yang lebih tinggi, syarikat meningkatkan kapasiti operasi dengan mengembangkan pekerjaan, melaporkan peningkatan pertama dalam tahap pekerja dalam tempoh tiga bulan," katanya.

-- BERNAMA












       Berita Utama Terdahulu