Pelajar Malaysia digalak sertai program Space Camp di AS [ 5h ago ]

Sistem pam cekap tenaga masuk pasaran Malaysia akhir tahun

Tarikh kemaskini: 03/09/2019
Oleh Voon Miaw Ping

SINGAPURA, 3 Sept - Pakar pam, Grundfos bersedia memperkenal Sistem Pam Pengedaran (DPS) yang inovatif untuk pasaran Asia, bagi membantu mengurangkan sehingga 50 peratus penggunaan tenaga dalam sistem penyaman udara berbanding kaedah konvensional semasa.

Pengarah Perniagaan Serantau Grundfos bagi Asia Pasifik Anders Christiansen berkata bermula di Singapura, DPS disasarkan untuk memasuki pasaran Malaysia, India dan Taiwan menjelang akhir tahun ini diikuti oleh Thailand, Indonesia dan Filipina tahun depan.

Grundfos Asia Pasifik menjangkakan permintaan untuk sistem pam itu akan meningkat pada tahun-tahun akan datang berikutan permintaan yang lebih besar untuk penyelesaian tenaga cekap, katanya pada taklimat media semasa pelancaran sistem untuk rantau Asia itu di pejabat Ketua Wilayah Grundfos di sini pada Isnin.

Yang pertama di pasaran, beliau berkata DPS adalah hasil penyelidikan berterusan terhadap keperluan untuk menangani tuntutan yang semakin meningkat di dunia untuk penyelesaian penyejukan tanpa memberi kesan kepada perubahan iklim.

Beliau berkata tidak seperti kaedah yang kini berada dalam pasaran, penyelesaian baharu ini mampu beroperasi dalam keadaan optimum pada bila-bila masa dengan mengatur aliran air dan memenuhi keperluan zon bangunan yang berbeza berdasarkan maklum balas daripada sensor suhu dan pada masa yang sama memastikan suhu bangunan konsisten pada setiap masa .

"Pengenalan sistem ini membuktikan komitmen kami untuk mencipta teknologi yang lebih bersih dan lebih cekap untuk membolehkan pelanggan mengurangkan penggunaan tenaga dan mengurangkan impak mereka terhadap alam sekitar," katanya.

DPS terdiri daripada dua pam - TPE3 dan MAGNA 3 - yang dilengkapi sensor pemacu dengan kelajuan boleh ubah, modul pengawal dan komunikasi, serta motor IE5 canggih - berfungsi sebagai pam utama dan sekunder untuk menyediakan penyelesaian penyejukan dan pada masa yang sama memastikan kecekapan operasi tertinggi.

"Kedudukan seimbang DPS Grundfos itu bermaksa injap kawalan tidak diperlukan, sekali gus menjimatkan masa selain mudah dan mengurangkan kos pemasangan awal," katanya.

Beliau berkata projek perintis yang telah dijalankan di ibu pejabat dan kilang Grundfos di Singapura dan Politeknik Ngee Ann menunjukkan sistem itu berjaya membantu mencapai penjimatan 55 peratus tenaga sistem pam kWH dalam tempoh 7.5 bulan dari Nov 2016 hingga Mei 2017.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu