Pelajar Malaysia digalak sertai program Space Camp di AS [ 5h ago ]

IR4.0: Kerajaan, perniagaan digesa pertingkat sistem keselamatan

Tarikh kemaskini: 03/09/2019
KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Kerajaan dan perniagaan digesa pertingkatkan lagi sistem keselamatan mereka dengan pelaksanaan pewujudan Revolusi 4.0 (IR4.0) di negara ini.

Naib Presiden dan Penyelidik Keselamatan Trend Micro Inc Rik Ferguson berkata adalah penting untuk mempunyai keselamatan sebagai sebahagian daripada fasa rekaan dan strategi pelaburan untuk memastikan keupayaan pembuatan tidak menjadi mangsa kepada risiko seperti ransomware.

"Adanya lebih banyak alat yang lebih terhubung (dan) lebih banyak negara menjadi terkenal sebagai peneraju dalam ruang itu, mereka semakin menjadi sasaran," katanya kepada pemberita di luar persidangan Trend Keselamatan Trend Micro 2019 di sini, hari ini.

Ferguson berkata sektor pembuatan sebelumnya tidak terlalu terhubung kerana ia biasanya terbatas di dalam persekitaran kilang dengan kebimbangan utama adalah terhadap aspek keselamatan, iaitu konsep yang berbeza daripada keselamatan siber.

“Sama pentingnya dengan keselamatan, anda kini perlu pertimbangkan khususnya keselamatan siber. Jadi, ia bukan sebenarnya keselamatan adalah lemah tetapi ia berupa paradigma dan persekitaran baharu.

'’Jika anda minta orang pertimbangkannya, anda meminta orang tentang bidang yang mereka mungkin tidak mempunyai kemahiran. Ia tentang bagaimana untuk menarik keluar kepakaran daripada persekitaran keselamatan siber tradisional dan membawa ia ke dalam ruang perindustrian, tetapi adalah penting bahawa usaha itu perlu menyeluruh,” katanya.

Ferguson turut menegaskan akan keperluan membina kesedaran dalam kalangan perniagaan dan memujuk mereka untuk mengambil tindakan terhadap ancaman keselamatan siber.

“Jika anda tidak (lakukannya), anda menetapkan diri anda untuk kegagalan dan untuk jangka panjang, bukannya industri pembuatan anda yang akan berjaya, tetapi milik pihak lain,” katanya.

Dapatan pada separuh pertama 2019 mengesahkan ramalan dibuat Trend Micro pada tahun lepas. Ramalan utama pada tahun lepas adalah penyerang akan semakin bijak kerana mereka menyasarkan perniagaan dan persekitaran yang memberikan mereka '’pulangan pelaburan'’ terbaik.

Laporan menyeluruh Trend Micro bagi separuh pertama 2019 melaporkan ancaman dikesan dan menyekat hampir 2.5 juta kali di Malaysia, tempat kedua paling menjadi sasaran selepas Singapura di Asia Tenggara.

Selain itu, Malaysia menduduki tempat ketiga di rantau itu dengan menyekat 3,568 ancaman malware perbankan bagi tempoh sama.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu