Pelajar Malaysia digalak sertai program Space Camp di AS [ 5h ago ]

Sime Darby Oils sasar jadikan ALIF minyak masak utama dalam tempoh 2 tahun

Tarikh kemaskini: 03/09/2019
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Sime Darby Oils Sdn Bhd, unit hiliran milik penuh Sime Darby Plantations Bhd, menyasarkan untuk meningkatkan penguasaan pasaran minyak masak ALIF dalam aspirasinya untuk menjadi jenama utama dalam pasaran Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang daripada tempat keempat daripada lima pengeluar utama semasa.

Pengarah Urusannya Mohd Haris Mohd Arshad berkata syarikat itu perlu mengambil sekurang-kurangnya setahun untuk membangunkan semula rangkaian pengedarannya untuk memperluas penguasaan pasaran tersebut.

Syarikat itu buat masa ini menghasilkan sekitar enam hingga 1,000 tan minyak masak ALIF sebulan, jumlah yang kecil sedangkan ia menghasilkan kira-kira empat juta tan minyak setahun, kebanyakannya untuk eksport.

"Terdapat banyak jenama kukuh di pasaran dan kami perlu memikirkan kedudukan nilai kami.

"Pelancaran semula jenama ALIF dengan label baharu yang bermutu dan bermaklumat adalah antara langkah ke arah itu, kami menekankan produk itu disahkan lestari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penampilan baru ALIF di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Mohd Haris menyifatkan jumlah pengeluaran kecil ALIF ke pasaran bersubsidi, dengan kuota jualan syarikat itu hanya kira-kira 2,500 tan sebulan, jumlahnya kecil berbanding jenama-jenama lain.

"Bagaimanapun, apabila kerajaan mengubah dasar subsidi pada tahun 2017, ia menyediakan ruang persaingan yang sama rata kepada kami. Itu sebabnya kami berazam untuk menjadi jenama nombor satu," katanya.

Walaupun jenama itu kini hanya dipasarkan di Malaysia, kami merancang untuk memperluas pasaran ke Indonesia dan Singapura, katanya.

"Di Indonesia kami mempunyai kilang di Kalimantan, yang diharapkan dapat mengembangkan jenama ALIF di sana menjelang akhir tahun ini," katanya.

Wajah baharu ALIF menampilkan logo ‘Sayangi Sawitku’, sebagai tanda sokongan terhadap kempen kerajaan, merupakan usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia supaya memahami manfaat minyak sawit serta sumbangannya kepada negara.

"Kami berharap pelancaran label baharu ini akan meningkatkan permintaan ke atas produk minyak sawit Malaysia. Kami juga berharap orang ramai akan terus teruja dengan jenama ALIF yang baru ini, kami juga memberi jaminan kualiti dan kemampanan pada harga berpatutan," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu