SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 7h ago ]

Muhyiddin sedia pertimbang rayuan Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor

Tarikh kemaskini: 04/09/2019
PUTRAJAYA, 4 Sept -- Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sedia mempertimbangkan rayuan Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor yang dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Johor.

Katanya beliau menyerahkan kepada RoS untuk meneliti perkara itu terlebih dahulu termasuk memanggil wakil persatuan yang bernaung di bawah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu bagi mendapatkan penjelasan.

"Atau kalau dilihat dari sudut perlembagaan persatuan itu, ada sesuatu perkara yang perlu dipinda atau disesuaikan dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966, maka nasihat itu akan diberikan.

"Saya telah minta supaya persatuan respons dalam tempoh masa segera supaya perkara itu akan dibawa kepada saya dan saya akan pertimbang status persatuan ini," katanya pada sidang media selepas bertemu wakil persatuan itu dan Dong Zong, di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan selama 20 minit itu ialah Pengerusi Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor, Tan Tai Kim yang juga merupakan Pengerusi Dong Zong serta Naib Pengerusi dan ahli jawatankuasa pusat Dong Zong, Yang Yin Chong dan Low Chee Chong.

Muhyiddin berkata dalam perbincangan tersebut beliau telah diterangkan mengenai latar belakang persatuan yang ditubuhkan sejak tahun 1955 itu dan isu teknikal yang menyebabkan pendaftarannya dibatalkan RoS Johor.

"Saya dapati perkara itu adalah sebagaimana biasa, kes ini bukan terpencil. Ada beberapa badan dan pertubuhan yang disebabkan perkara tertentu dibatalkan dan merayu kepada menteri," katanya.

Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor sebelum ini dilaporkan menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah RoS Johor dengan alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.

Low yang ditemui media selepas pertemuan itu berkata Muhyiddin telah menyatakan akan menarik balik pembatalan pendaftaran itu jika persatuan itu dapat mematuhi segala kehendak RoS dan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan.

"Hanya tinggal isu teknikal sahaja. Mungkin ada sebahagian ayat dalam perlembagaan yang sedikit kita nak ubah. Jadi terpulang antara perbincangan RoS dan peguam kita," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut diminta mengulas mengenai desas-desus rombakan Kabinet bahawa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengambil tempatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Anda (wartawan) patut tanya Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya secara ringkas.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa Saifuddin Nasution akan ke KDN, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan berpindah ke portfolio baharu.

Bagaimanapun, portfolio baharu Lim dan Muhyiddin tidak dinyatakan dalam laporan itu.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu