Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 2h ago ]

Prestasi eksport Julai bukti kukuh peralihan perdagangan - UOB

Tarikh kemaskini: 04/09/2019
KUALA LUMPUR, 4 Sept -- Eksport Malaysia pada Julai 2019 adalah bukti kukuh peralihan perdagangan berikutan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan peningkatan eksport ke Amerika Syarikat (AS) dan China, kata United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia).

Eksport Malaysia pada Julai 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus kepada RM88.0 bilion tahun ke tahun.

Ahli ekonomi kanannya Julia Goh, bagaimanapun berkata kesan keseluruhan impak kemerosotan hubungan AS-China kekal negatif dan terbukti menerusi permintaan import lemah serta Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan pada Ogos yang jatuh bagi bulan keempat dengan kekurangan tempahan baharu.

"Memandangkan risiko pertumbuhan perlahan dan kesan asas tinggi daripada setahun lalu bagi eksport Malaysia, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport tahun penuh 2019 kami pada 1.0 peratus hingga 1.5 peratus," katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata pertumbuhan eksport Julai sebahagian besarnya mendapat rangsangan daripada penghantaran tinggi barangan pembuatan, terutamanya produk elektrik dan elektronik, petroleum, jentera dan peralatan, serta bahan kimia dan produk kimia.

"Eksport gas asli cair yang kukuh membantu mengimbangi sebahagian daripada penurunan dalam eksport minyak petroleum mentah. Eksport lebih tinggi ke AS, China, Singapura, Taiwan, dan Vietnam menjadi pemacu utama pemulihan eksport Julai, "katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu