RENCANA

SEMANGAT IBU CETUSKAN PROJEK BUNGA PADS

05/09/2019 11:40 AM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Haid masih dianggap sebagai perkara tabu untuk dibincangkan oleh kalangan wanita.

Pada masa sama, ramai pelajar perempuan di  kawasan pedalaman enggan ke sekolah setiap kali didatangi haid kerana rasa malu dan rendah diri.

Situasi itu bukan sahaja berlaku di negara kurang membangun seperti Nepal, Bangladesh dan India malah turut dialami pelajar di perkampungan Orang Asli dan di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Mereka bersikap demikian hanya kerana tidak mampu membeli pad wanita untuk digunakan semasa haid. 

Menyedari keadaan itu boleh menjejaskan kehadiran mereka ke sekolah, BUNGA Pads tampil membantu dengan menyediakan pad kain wanita percuma untuk mereka.

 

KESINAMBUNGAN PROJEK DI BANGLADESH

Dilancarkan pada 19 Julai lalu, BUNGA Pads digerakkan oleh Alumni Mycorps, sebuah badan sukarelawan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Penaung Bersama BUNGA Pads Fitriyati Bakri berkata BUNGA Pads dilaksanakan hasil pengalamannya sendiri ketika menyertai misi sukarelawan selama dua bulan di Bangladesh pada 2017.

Projek itu, yang dinamakan ‘Tiger Widow  Social Enterprise’, dilaksanakan di kawasan Gabura, Satkhira dengan matlamat serampang dua mata - mengurangkan kadar pelajar perempuan ponteng ke sekolah ketika haid dan memberi peluang pekerjaan kepada ibu tunggal yang kurang berkemampuan dengan menjadi penjahit pad kain wanita yang boleh dicuci.

Berkongsi pengalaman dan cabaran sepanjang berada di kawasan itu, Fitriyati berkata lokasinya yang jauh di pedalaman memerlukan masa hampir 24 jam melalui perjalanan darat dan air dari ibu negara, Dhaka.

Ketika sampai di kawasan tersebut, beliau dapati ramai pelajar perempuan tidak hadir ke sekolah.

“Apabila ditanya kepada pelajar perempuan lain, mereka menjawab malu ke sekolah sekiranya sedang haid,” katanya.

Fitriyati, 24, berkata kaji selidik yang dijalankan mendapati  pelajar perempuan di kawasan itu tidak pergi ke sekolah kira-kira 50 hari setahun akibat haid.

"Apabila saya pergi ke kampung lain, isu sama juga berlaku. Sebabnya, mereka tidak mampu membeli pad pakai buang yang harganya 80 taka atau kira-kira RM5. Ia amat mahal bagi mereka kerana pendapatan seisi keluarga yang kebanyakan hanya bekerja sebagai pencari udang hanyalah 100 taka sehari," katanya kepada Bernama.

Fitriyati dan tujuh ahli kumpulannya kemudian membangunkan modul dengan menghasilkan sendiri pad kain wanita boleh dicuci menggunakan kain kapas.

Proses mereka bentuk pad mengambil masa agak lama iaitu kira-kira sebulan kerana perlu mencari rekaan pad wanita yang sesuai dengan budaya masyarakat di sana.

"Perempuan di sana tidak memakai seluar dalam… jadi, ia menjadi cabaran buat kami untuk menghasilkan pad wanita yang boleh dipakai mereka.

“Selepas menerima reka bentuk yang sewajarnya, kami mengajar dan menggaji kaum ibu terutama ibu tunggal dan kurang berkemampuan untuk menjahit pad itu,” katanya sambil memuji kemahiran jahitan wanita Bangladesh.

 

PROJEK DI MALAYSIA

Berasal dari Sandakan, Sabah, Fitriyati yang juga bekas penuntut Politeknik Kuching, pada mulanya tidak merancang menjalankan projek pad wanita itu di Malaysia. 

Bagaimanapun, pertanyaan pihak luar yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut projek di Bangladesh menyebabkan beliau berminat memperluaskan projek itu di negara ini.

Beliau turut menerima galakan daripada rakan pengasas BUNGA Pads,  Amir Junaidi dan Maisarah Razali, yang gigih merancang dan membangunkan projek itu demi melaksanakan misi sosial untuk masyarakat.

"Kami pernah menerima panggilan daripada badan bukan kerajaan (NGO) di Turki yang bertanya sama ada projek pad wanita diadakan di Malaysia… ketika itu, kami fikir tidak perlu sebab tiada kajian kes yang menunjukkan adanya keperluan pad wanita di negara ini.

"Namun, apabila bertemu dengan rakan-rakan NGO lain yang selalu mengunjungi kawasan pedalaman Orang Asli seperti di Kelantan, mereka memberitahu tentang kebanyakan pelajar perempuan dan wanita Orang Asli  yang hanya menggunakan kain buruk ketika haid," katanya.

Perkara sama turut dikongsi rakannya yang juga guru di pedalaman Sabah yang menyatakan tentang pelajarnya yang tidak ke sekolah semasa haid kerana tidak mampu membeli pad wanita.

Ini membuatkannya mahu memulakan projek pad wanita di Malaysia, kata Fitriyati yang turut mendapat sokongan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Datuk Hatipah Ibrahim yang mahu melihat potensi projek itu dikembangkan di Malaysia.

“Kementerian memberikan sokongan kewangan kepada kami bagi memulakan projek ini pada awal tahun,” katanya.

BUNGA Pads tidak berdepan masalah mereka bentuk pad namun perlu mengambil masa bagi menentukan jenis kain yang mahu digunakan, katanya yang mengguna pakai konsep pad kitar semula.

Selain kain kapas, BUNGA Pads menggunakan kain minky seperti baldu yang terbuat daripada microfiber untuk permukaan pad dan bahan daripada arang buluh dan dilapis dengan kain kapas untuk memudahkan penyerapan.       

"BUNGA Pads menghasilkan tiga jenis pad wanita iaitu pad kegunaan harian, pad untuk aliran haid yang banyak dan pad untuk aliran sederhana," katanya.

 

INSPIRASI SEMANGAT IBU

Pemilihan nama BUNGA Pads diambil daripada semangat dan kekuatan ibu Fitriyati yang bernama Bunga Sape yang berusia 43 tahun.

“Pemilihan nama ini sebagai tanda penghargaan buat ibu yang melahirkan dan membesarkan saya dan adik-beradik lain walaupun dalam kepayahan,” katanya.

Beliau berkata ibunya dilahirkan dalam keluarga susah dan berdepan ujian getir apabila didiagnos menghidap penyakit kanser payu dara pada usia 31 tahun.

"Ketika itu, saya baharu berumur 13 tahun. Ibu saya lalui semuanya sendirian kerana ayah merantau ke Semenanjung mencari rezeki. Saya membantu ibu dengan menjaga adik-adik.

"Dua tahun ibu saya berjuang melawan penyakit itu...sepatutnya, dia perlu menjalani pembedahan membuang ketulan kanser tetapi disebabkan tidak mampu, ibu merawat sendiri dengan menjaga pemakanannya," kata Fitriyanti yang juga anak kedua daripada enam beradik.

Selepas dua tahun, ibunya yang disahkan menghidap kanser tahap tiga sembuh daripada penyakit itu dan meneruskan penjagaan kesihatan dan pemakanannya.

"Semangat ini akan saya tekankan dalam membantu wanita lain kerana dalam projek  BUNGA Pads, tukang jahit yang menjahit pad wanita juga adalah kumpulan ibu tunggal yang kurang berkemampuan dalam golongan B40.

"Setakat ini, enam tukang jahit di Kuala Kangsar, Perak terlibat menjayakan projek ini," katanya.

 

KERJASAMA BUNGA PADS

Sebanyak 100 set kit pad wanita, yang setiap satu mempunyai tujuh pad, kini sedia untuk diedarkan.

Ini termasuk dua jenis pad wanita ketika haid dan pad wanita kegunaan harian yang dijual pada harga RM100 satu kit. Setiap pad itu boleh digunakan antara tiga hingga lima tahun.

Fitriyati berkata Persatuan Pencinta Alam Malaysia berminat memasarkan BUNGA Pads kerana ia merupakan produk mesra alam yang menyokong gerakan hijau bagi mengurangkan penggunaan plastik.

Selain itu, ia menjalinkan kerjasama dengan Sekolah Alternative yang dibina NGO khusus untuk anak-anak tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah dan Kelab JASA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk menyediakan pad wanita percuma kepada wanita Orang Asli di Sungai Siput, Perak.

"Selain pad wanita, kami juga memberi penerangan tentang pendidikan seksual dan kebersihan," katanya yang berhasrat membangunkan modul yang lebih bermanfaat untuk dibawa ke sekolah-sekolah di Malaysia.

Fitriyati, yang terpilih dalam projek keusahawanan Symbiosis di bawah kendalian Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), berkata dalam tempoh dua tahun, BUNGA Pads menyasarkan penubuhan sekolah vokasional khusus untuk bidang jahitan bagi membantu ibu tunggal dan pelajar tercicir.

"Kami baru melancarkan kempen ‘Pads For Her’ bagi mendapatkan sumbangan dan hasil jualan pad wanita itu akan kami gunakan sepenuhnya bagi membantu menghasilkan pad wanita percuma kepada kumpulan sasaran. 

“Selain itu, kami juga menerima sumbangan untuk menambah dana bagi membantu mengembangkan lagi pemberian pad wanita secara percuma," katanya yang berharap usaha ini akan mendapat kerjasama masyarakat.

Misi sosial kempen itu boleh diikuti di laman Instagram @mybungapads .

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA  

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan