Pico Hydro menang cabaran perniagaan MTDC 2019 [ 1m ago ]

PM Sudan umum barisan Kabinet baharu

Tarikh kemaskini: 06/09/2019
KHARTOUM, 6 Sept -- Perdana Menteri Abdullah Hamdok pada Khamis mengumumkan Sudan akan dibarisi 20 anggota baharu Kabinet semasa tempoh peralihan, lapor agensi berita Turki, Anadolu.

"Kami mengambil masa lama untuk berunding bagi pembentukan Kabinet kerana kami perlu menangani masalah aspek geografi, jantina dan perwakilan dalam kalangan belia," kata Hamdok kepada pemberita.

Beliau mengumumkan nama 18 menteri Kabinet dan berkata terdapat keperluan untuk membincangkan pelantikan bagi menteri ternakan, infrastruktur dan pengangkutan.

Perdana Menteri itu berkata, semasa tempoh peralihan selama tiga, kerajaan akan mengutamakan agenda untuk mencapai keamanan dan pembangunan ekonomi Sudan.

Barisan menteri utama terdiri daripada Gamal Omer sebagai Menteri Pertahanan, Altraifi Idriss Menteri Dalam Negeri, Asma Abdullah Menteri Luar Negeri, Ibrahim Albadawi dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Omer Manis sebagai Menteri Hal Ehwal Kabinet.

Hamdok, seorang ahli ekonomi antarabangsa, adalah perdana menteri pertama dalam kalangan orang awam sejak 1989, apabila Presiden Omer Al-Bashir menggulingkan Perdana Menteri yang dipilih rakyat, Sadiq al-Mahdi.

Majlis Kedaulatan dibentuk di bawah perjanjian perkongsian kuasa antara Majlis Peralihan Tentera (TMC) Sudan dan pembangkang Angkatan Kebebasan dan Perubahan (FFC).

Presiden Omar al-Bashir yang memerintah Sudan selama 30 tahun digulingkan pihak tentera April lepas, selepas protes yang berlanjutan selama berbulan-bulan.



-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu