Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 7h ago ]

Dana RM1 bilion bantu pelajar B40 jalani latihan kemahiran

Tarikh kemaskini: 06/09/2019
KUALA LUMPUR, 6 Sept -- Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mendapat peruntukan RM1 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) untuk membantu pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) menjalani latihan kemahiran hingga ke peringkat diploma di institusi swasta.

Pengerusi PTPK K. Saraswathy berkata masalah yang timbul ialah ramai yang masih keliru tentang perbezaan fungsi antara PTPK dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) yang kedua-duanya berada bawah Kementerian Sumber Manusia.

"PTPK adalah satu tabung pembangunan yang memberi pinjaman pelajaran kepada lepasan sekolah bagi menceburi bidang kemahiran sementara HRDF adalah sebuah agensi di bawah kementerian yang memberi latihan kepada pekerja menggunakan dana daripada caruman yang dibuat syarikat-syarikat.

"Bagi mereka yang ingin mendaftar dengan PTPK sebagai alternatif menyambung pelajaran ke diploma kemahiran, kami menyarankan untuk menyambung pengajian di institusi latihan awam di bawah kementerian. Ini kerana masih ada banyak kekosongan bagi pengambilan Januari 2020 dan pendaftaran dibuka dari September hingga Disember tahun ini," katanya dalam pertemuan dengan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang di sini, hari ini, bagi menerangkan fungsi agensi itu.

Namun Saraswathy berkata jika masih tidak mendapat tempat di institusi awam, pelajar boleh mendaftarkan diri dengan institusi swasta dengan pihak PTPK akan memberikan pinjaman pelajaran sebanyak RM8,000 bagi satu-satu kursus latihan bertempoh lapan hingga 12 bulan.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bantuan pinjaman pelajaran itu boleh melayari laman web www.ptpk.gov.my.

Tambah Saraswathy, pihaknya sedang mengkaji semula Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 bagi membolehkan PTPK diberi kuasa dalam pengambilan pelajar bagi menjamin pengagihan peruntukan dana itu lebih berkesan.

"Masalah yang timbul sekarang adalah apabila pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memberikan pentauliahan kuasa pengambilan pelajar kepada 1,200 pusat-pusat latihan di bawahnya, ada kalangan pusat latihan ini telah mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan nama pelajar untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi lain atau dipanggil 'double funding' dan ini salah di sisi akta.

"Kita harap selepas ini PTPK dapat berhubung terus dengan pelatih kerana kita akan dapat melihat kapasiti, kehendak dan minat mereka supaya tidak berlaku pembaziran agihan dana," katanya.

Tambah beliau, PTPK telah turut mengenal pasti tiga buah kolej swasta yang telah melakukan penyalahgunaan kuasa pengambilan itu serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu