Kerajaan lebih konservatif dalam mengurus pembiayaan awam - Kenanga Research [ 11m ago ]

Gangguan rangkaian sistem KLIA belum ada petunjuk kukuh - KPN

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mempunyai petunjuk kukuh bagi mengaitkan insiden gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan masih dijalankan dengan polis mengambil kira pandangan pakar dalam bidang melibatkan teknologi.

"Masih tiada lagi petunjuk drastik untuk kami memastikan sama ada berlakunya sabotaj atau tidak.

"Polis masih meneliti kenyataan yang diambil sebelum ini terhadap beberapa individu yang dipanggil," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK) di sini, hari ini.

Setakat ini, 12 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung gangguan sistem di KLIA yang berlaku selama empat hari bermula 21 Ogos lepas.

Empat pegawai bahagian Teknologi Maklumat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebelum ini telah membuat laporan polis bagi menafikan pembabitan mereka dalam insiden gangguan rangkaian sistem di KLIA baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak masih belum tampil membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan yang berlaku dekat sebuah kompleks sukan di Ampang, Sabtu lepas.

"Polis masih mengesan beliau walaupun laporan ditarik oleh pihak pengadu. Rakaman percakapan (Farhash) masih diperlukan dan akan diusulkan kepada kertas siasatan atau pendakwa raya sama ada mahu tindakan lanjut atau tidak

Abdul Hamid berkata rakaman percakapan pengadu juga diperlukan bagi membantu siasatan.

Farhash Wafa, 37, sebelum ini dipercayai terbabit dalam satu insiden mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki tempatan.

Menurut laporan sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata mangsa yang mendakwa dirinya dipukul bagaimanapun telah menarik kembali laporan berkenaan Khamis lepas.

"Lima individu termasuk pengadu masing-masing berusia antara 22 dan 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Fadzil, empat daripada suspek dibebaskan dengan jaminan polis semalam manakala seorang lagi suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kerana dikehendaki polis berkaitan kes dadah.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, berhubung kes membabitkan penularan video jelik babitkan seorang menteri, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan beberapa arahan kepada pasukan siasatan PDRM.

"Ada beberapa tindakan lanjut perlu diambil bagi mengumpul bukti seperti yang diminta Jabatan Peguam Negara. Polis tidak dapat memastikan jangka masa siasatan berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan dan tidak mati (terhenti)," katanya.

Kira-kira tiga bulan lepas, klip video yang memaparkan pelaku mirip seorang menteri dengan seorang individu dalam aksi berahi sejenis ditularkan sekali lagi dalam kumpulan WhatsApp tertentu baru-baru ini.

Enam klip video berdurasi tiga minit setiap satu itu diedar kepada kira-kira 80 pengamal media dan ahli politik seperti mana video klip mengaitkan pasangan yang sama sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata polis akan memanggil lima individu seperti yang dilaporkan pendakwah bebas Dr Zakir Naik telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya.

"Kita akan panggil semua individu berkenaan minggu hadapan bagi mana-mana yang keluarkan kenyataan yang dipercayai memfitnah Dr Zakir.

"Mereka sudah dimaklumkan tetapi belum lagi hadir. Minggu hadapan kita akan pastikan mereka hadir," katanya.

Mereka ialah Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J. Ignatius.

Pada Ogos lepas, penceramah bebas itu dilaporkan membuat laporan polis terhadap lima individu kerana didakwa memfitnahnya berhubung ceramahnya yang menimbulkan kontroversi.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu