Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 39m ago ]

Bas dua tingkat terbakar di R&R Sungai Perak arah utara

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
KUALA KANGSAR, 8 Sept -- Sebuah bas ekspres dua tingkat terbakar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Mohd Taufiq Mohd Sattar berkata dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, bas berkenaan tiba-tiba terbakar.

Difahamkan, bas yang membawa 12 penumpang dan dua pemandu itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, katanya.

"Kebakaran berlaku selepas kesemua penumpang sudah turun di kawasan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Taufiq berkata sepasukan enam anggota daripada balai bomba berkenaan yang dibantu BBP Meru Raya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 1.57 petang.

Katanya 80 peratus bas itu terbakar dan tiada mangsa yang cedera serta punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS), dalam satu kenyataan merakamkan ucapan penghargaan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat atas tindakan pantas pasukan itu, memadamkan kebakaran dalam masa 20 minit.

Menurut PLUS lagi, pihaknya sentiasa menjalinkan kerjasama berterusan dengan agensi-agensi penguatkuasaan serta kecemasan, bagi memastikan langkah keselamatan di lebuh raya berada pada tahap terbaik.

"Langkah kepiawaian keselamatan PLUS yang menugaskan pasukan tambahan semasa cuti panjang atau musim perayaan ternyata berhasil. Ia juga merupakan antara matlamat utama PLUS bagi menjaga pelanggan di sepanjang perjalanan mereka di rangkaian lebuh rayanya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu