SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 7h ago ]

LKIM agih RM211,000 baik pulih rumah mangsa Taufan Lekima

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
KUALA MUDA, 8 Sept -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengagihkan sebanyak RM211,000 untuk membaik pulih rumah nelayan yang terjejas akibat tempias Taufan Lekima pada 9 Ogos lepas.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata penerima bantuan itu terdiri daripada 188 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di negeri ini, Perlis dan Pulau Pinang yang telah membuat permohonan di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan (SBBAK).

“Memang kita luluskan dan diperuntukkan kepada PNK negeri-negeri untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas sejak bulan lalu dan mereka ini kita kenal pasti melalui PNK masing-masing dan pengagihan dijangka selesai tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada Program Lawatan dan Penyampaian Bantuan Mangsa Taufan Lekima di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata sebanyak RM50,000 diagihkan untuk 19 buah rumah di Perlis, RM87,000 untuk 79 rumah di Kedah dan RM74,000 untuk 90 rumah di Pulau Pinang.

Katanya menerusi skim itu, sebuah rumah menerima bantuan antara RM1,000 hingga RM10,000 bergantung pada kerosakan rumah.

“Bagi mereka yang sudah membaiki sendiri rumah, LKIM turut membantu bagi menampung kos tersebut bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, LKIM turut menyediakan tempat tinggal sementara kepada mangsa sehingga kerja baik pulih rumah mereka selesai.

“Dalam lawatan di Tanjung Dawai hari ini, kita dapati sebuah rumah rosak teruk dan memerlukan kos yang tinggi, kita cadangkan mangsa dan keluarganya berpindah sementara di kuaters LKIM sementara proses baik pulih dilakukan yang mengambil sedikit masa,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Faiz turut meminta penerima bantuan agar dapat menyegerakan kerja baik pulih rumah dan mengelak bantuan disalahgunakan bagi tujuan lain.

Sementara itu, seorang penerima bantuan Hassan Deraman, 78 berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan LKIM yang akan membantu membaik pulih rumahnya yang rosak teruk dalam kejadian ribut tersebut.

“Walaupun rumah ini belum dibaik pulih, namun saya bersyukur kerana disediakan kuarters LKIM untuk tinggal sementara dengan isteri dan seorang cucu sementara rumah kami dibaik pulih,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu