SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 6h ago ]

Pelajar penerima bantuan sertai sukarelawan Food Bank Siswa USM

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
GEORGE TOWN, 8 Sept -- Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, yang sebelum ini terpaksa menjual petai di Kelantan untuk menampung kos kemasukannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) kini telah berdaftar sebagai sukarelawan Food Bank Siswa di USM.

Kisah tular remaja yang berasal dari Gua Musang itu telah mendapat perhatian masyarakat Malaysia yang berpusu-pusu menyalurkan bantuan dan beliau kini mahu membantu lebih ramai lagi yang memerlukan bantuan.

Muhammad Izzat berkata beliau amat terharu dengan bantuan rakyat Malaysia untuk membolehkan beliau menyambung pengajiannya dan itu telah memberikan dorongan kepadanya untuk menyertai program Food Bank Siswa agar dapat membantu lebih ramai lagi pelajar.

"Saya merupakan salah seorang penerima dan tanpa teragak-agak saya telah berdaftar untuk menyertai program ini sebagai sukarelawan memberikan sumbangan dan bantuan balik kepada pelajar-pelajar yang memerlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Food Bank Siswa USM di sini hari ini.

Muhammad Izzat adalah anak penoreh getah di Kampung Limau Kasturi 1, Gua Musang yang gigih mencari wang untuk menyambung pengajian dengan membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung.

Anak ketiga dari 12 adik-beradik itu sanggup membuat keputusan itu kerana mahu membantu ibu bapanya menambah pendapatan dan perbelanjaan keluarga kerana 10 lagi adik-beradiknya masih bersekolah.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah melancarkan Food Bank Siswa di USM.

Beliau berkata program Food Bank Siswa yang dilancarkan sejak Mac lepas telah berjaya memberikan manfaat kepada hampir 4,000 pelajar di 12 Universiti Awam di seluruh negara.

"Setakat ini program Food Bank Siswa ini telah mencapai 4,000 penerima dan angka ini akan terus meningkat kerana program ini akan terus diperluaskan ke 123 kampus institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menjelang 2020," katanya.

Tambahnya, Food Bank Siswa itu akan diteruskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan keutamaan kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata Food Bank Siswa sudah dijalankan di 11 Universiti Awam (UA), dan USM merupakan UA ke-12 di mana terdapat 350 pelajar dari USM telah dikenal pasti layak menerima bantuan daripada program ini.

"Insiatif Food Bank Siswa ini berkonsepkan 'Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa' di mana kita mengalu-alukan pelajar yang ingin terlibat dalam melaksanakan program ini terutamanya dari persatuan-persatuan pelajar untuk sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan.

"Program ini adalah satu usaha bagi menangani kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa agar mereka boleh fokus kepada pelajaran masing-masing," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu