UiTM serah 116 permohonan akreditasi kepada MBOT [ 2m ago ]

10 hari siapkan lukisan mural berkonsep perpaduan untuk dihayati ramai

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
IPOH, 8 Sept -- Seorang pelukis mural hanya mengambil masa selama 10 hari bagi menyiapkan sendiri mural berkonsepkan perpaduan pada dinding bangunan sebuah kedai di Jalan Panglima di sini yang siap pada 16 Ogos lalu.

Eric Lai, 43, berkata lukisan mural pada dinding bangunan kedai itu merupakan salah satu daripada ratusan lukisan mural berkonsepkan budaya Malaysia berbilang kaum yang dihasilkan untuk dihayati pengunjung di sekitar bandar Ipoh.

"Seni mural ini berwatakkan minuman Malaysia yang terkenal dan melambangkan perpaduan rakyat negara ini iaitu kelapa, cendol dan tebu kerana minuman ini diterima secara meluas oleh pelbagai kaum sejak penubuhan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Seni Mural dan Pembukaan Kedai Tea Aroi di Pekan Lama di sini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran hari ini.

Eric berkata banyak mural yang dilukisnya menggunakan wang sendiri dan adakalanya terdapat bayaran yang diterima dengan mural pertama dihasilkan di Jalan Masjid, di sini pada 2013.

"Bagi menyiapkan mural ini, saya mengecatnya seorang diri bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari dan menyambung kerja-kerja melukis menggunakan cat cuaca pada sebelah petang bermula dari pukul 4.00 petang sehingga 7.00 petang setiap hari bermula 6 Ogos lepas.

"Pada mulanya pemilik kedai Tea Aroi yang terletak di penghujung barisan bangunan kedai ini meminta saya untuk melukis mural minuman 'bubble' pada dinding bangunan kedai ini tetapi saya menyatakan hasrat untuk melukis sesuatu yang akan memberi makna kepada orang ramai untuk dihayati iaitu konsep perpaduan," katanya.

Selain memperoleh upah melukis mural dalam usaha menambah tarikan pelancong di Ipoh, bapa kepada seorang anak itu turut mengajar bidang seni di studio Art Gene Studio yang berpusat di Taman Ipoh Timur Baru sejak 2006 bagi menyara hidupnya dan keluarga.

Tinjauan Bernama mendapati ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing mengambil peluang untuk bergambar pada lukisan mural itu yang menunjukkan tiga karakter iaitu Pak Cik Cendol, Apek Air Tebu dan Macha Air Kelapa.

"Saya berasa amat bangga apabila ramai yang bergambar dengan lukisan yang dihasilkan oleh saya sendiri.

"Selepas ini saya akan mengecat semula lukisan mural di Jalan Masjid yang mana warna lukisan mula pudar kerana sudah beberapa tahun dihasilkan supaya pelancong bukan sahaja mengenal kepelbagaian jenis makanan yang terkenal di Ipoh tetapi juga budaya seni di sini," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu