57 individu termasuk polis & pegawai kehakiman didakwa miliki dadah [ 7m ago ]

Hanya 40 peratus pelajar di Sabah lanjut pelajaran ke peringkat tinggi

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
KOTA KINABALU, 8 Sept -- Ibu bapa di negeri ini perlu menggalakkan anak-anak mereka agar menceburi bidang kemahiran sekiranya kurang menyerlah dalam akademik kerana dianggarkan hanya 40 peratus daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Jenifer Lasimbang berkata kementerian amat bimbang dengan peratusan itu yang merupakan antara punca kepada kadar pengangguran tinggi di negeri ini berbanding di negeri lain.

“Kita tahu memang ada kekangan dari segi kewangan, oleh itu kita perlu mencari jalan untuk memastikan pelajar ini mempunyai kemahiran kerana bukan semua (pelajar) minat dalam bidang akademik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Rakyat 3.0 (Biasiswa, Kemahiran Diri dan Pekerjaan) di sini, hari ini.

Jenifer yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog berkata kementerian sentiasa berusaha menyediakan platform untuk memberikan mereka latihan kemahiran namun perlu mendapat dorongan dan sokongan daripada ibu bapa pelajar berkenaan.

Mengenai program itu, Jenifer berkata ia akan dapat memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pendidikan dan kemahiran daripada pameran yang dijalankan.

Antara agensi yang terlibat pada program itu termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu