299 mangsa banjir di Perak pagi ini [ 21m ago ]

Segerakan bina sanctuari gajah di Hulu Perak - Ahmad Faizal

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
IPOH, 8 Sept -- Kerajaan Perak berharap cadangan mewujudkan sebuah pusat sanctuari gajah di kawasan Hulu Perak dapat disegerakan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu perlu dipandang serius bagi memastikan hidupan liar di kawasan itu tidak lagi terancam.

"Semasa perjumpaan saya dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr Xavier Jayakumar beberapa bulan lepas ada membincangkan mengenai ‘Perak Elephant Sanctuary’ dan bagi pihak kerajaan negeri kita telah menyediakan tempat (sanctuary) di daerah Hulu Perak.

"Seperti yang diumumkan Dr Xavier semalam ia akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, jadi kita harap kerajaan perseketuan dapat pertimbangkan secara serius kerana ia tidak lagi boleh dilengah-lengahkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali ke-33 Tahun 2019 Persatuan Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Perak di sini hari ini.

Semalam, Dr Xavier mengumumkan kerajaan akan mewujudkan sebuah pusat sanctuari gajah di kawasan seluas 40.47 hektar dengan kos kira-kira RM20 juta di Perak, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memulihara haiwan itu yang semakin terancam, selain sering berdepan konflik dengan manusia.

Ia adalah pusat sanctuari tambahan, selepas penubuhan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu dan sanctuari Gajah Johor di Kota Tinggi.

Dalam perkembangan berlainan, ketika ditanya mengenai status pengisytiharan harta beliau, Ahmad Faizal berkata ia telah dilakukan.

"Saya Ahli Parlimen dan saya Menteri Besar saya sudah buat pengisytiharan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia boleh disemak," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 23 Oktober ini kepada 59 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak bagi mengisytiharkan harta seperti termaktub dalam usul yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada 23 Julai lepas.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu