Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 1h ago ]

Beberapa calon dikenal pasti untuk isi jawatan KPPA - KSN

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
Datuk Seri Borhan Dolah
KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Beberapa calon telah dikenal pasti untuk dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam baharu bagi menggantikan Datuk Seri Borhan Dolah yang bersara wajib, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar.

Ismail berkata, perkara berkenaan sedang berada dalam pertimbangan kerajaan dan pengumuman mengenainya akan dimaklumkan kelak.

“Datuk Seri Borhan Dolah akan bersara esok dan calon-calon untuk ganti beliau telah ada dan (kerajaan) sedang membuat pertimbangan lanjut,” katanya ketika diminta mengulas pelantikan jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu.

Ismail berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Unit Tindak Khas Polis Diraja Malaysia di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am Cheras, di sini.

Pada Jumaat, satu majlis persaraan dan ‘clock out’ Borhan diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri pegawai kanan dan warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada 4 Sept, Borhan dilapor sebagai berkata mulai tahun hadapan (2020), lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Langkah itu, katanya, diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia masih belum dibincangkan di peringkat kabinet.

Borhan, yang memulakan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1984 dengan jawatan Pegawai Kanan Perhubungan Masyarakat di Jabatan Perpaduan Negara. dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 13 Julai 2018.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Universiti Malaya itu pernah menyandang pelbagai jawatan di pelbagai agensi dan jabatan seperti JPA, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Jabatan Belia dan Sukan dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu