Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 1h ago ]

Pertukaran, rawatan air dicadangkan atasi kematian ikan di Pantai Lido

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
JOHOR BAHRU, 8 Sept -- Jabatan Perikanan Negeri Johor mencadangkan supaya dilakukan kaedah pertukaran dan rawatan air di kawasan Pantai Lido yang dicemari bahan ammonia hingga mengakibatkan kematian ikan di pantai tersebut.

Pengarahnya Zamani Omar berkata masalah ammonia boleh diatasi dengan melakukan pertukaran air bertakung seluas kira-kira 10 hektar itu di mana air berkenaan perlu dirawat sebelum dilepaskan ke perairan umum.

“Berdasarkan laporan analisis kualiti air yang dihantar pada 28 Ogos lepas, kandungan ammonia dan fosfat pada air bertakung itu adalah tinggi dipercayai berpunca daripada proses pereputan bangkai ikan.

“Keadaan lebih buruk bila saluran air buangan sisa domestik juga mengalir masuk ke kawasan takungan tersebut dan mengancam hidupan akuatik lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zamani berkata bagi jangka masa panjang pula, pihaknya mencadangkan supaya laluan pengairan lebih cekap perlu dibina bagi memastikan air berkenaan dapat mengalir keluar masuk mengikut keadaan pasang surut air laut.

Beliau berkata ini bagi memastikan supaya sisa domestik tidak berkumpul setempat sehingga menjejas kualiti air bagi hidupan akuatik.

"Difahamkan setakat ini hanya satu laluan yang dibina bagi tujuan tersebut (air mengalir keluar masuk) berbanding keluasan keseluruhan kawasan berkenaan," katanya.

Kejadian lambakan ikan mati antaranya tilapia dan barracuda di kawasan Pantai Lido dan tali air berdekatan Hospital Sultanah Aminah itu dilaporkan berlaku pertama kali pada 28 Ogos lalu dan kali kedua, dua hari lepas (6 Sept).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu