Fuziah: K'jaan mahu jadikan waqaf satu 'jenama dalam keluarga' [ 6h ago ]

Jambatan Muara Lassa mudahkan usaha selesai masalah air di Pulau Bruit, Daro dan Tanjung Manis

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
DARO (Sarawak), 8 Sept -- Masalah pembekalan air bersih di kawasan Pulau Bruit, Daro dan Tanjung Manis dijangka akan dapat ditangani dengan lebih efisyen apabila projek pembinaan Jambatan Muara Lassa siap nanti.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dengan siapnya jambatan berkenaan, pemasangan paip air boleh dilakukan dengan mudah, malah kosnya juga menjadi lebih murah berbanding rancangan menyambung bekalan air dari Sibu ke kawasan itu menggunakan paip dasar sungai.

“Menerusi jambatan ini, paip akan disambung mengikut jambatan ini melalui jalan darat, tidak lagi menggunakan paip dasar sungai," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa di sini hari ini.

Projek jambatan kedua terpanjang di Sarawak sejauh 2.43 kilometer berharga RM597.58 juta yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan itu dibina bagi menyambung rangkaian jalan pesisir negeri, dan menurut Abang Johari apabila disiapkan, kerajaan negeri akan mengkaji semula kos melaksana projek bekalan air ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan akan mengguna pam penaik air dan membina loji rawatan bagi menyediakan bekalan air di kawasan berkenaan, manakala bagi perancangan jangka panjang bekalan air paip di kawasan itu akan disambung dengan projek grid bekalan air Sarawak yang djangka siap tahun 2023 nanti.

Menyentuh mengenai projek jambatan itu, Abang Johari berkata ia akan memberi impak besar kepada pembangunan sosio ekonomi di kawasan berkenaan yang seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu