Fuziah: K'jaan mahu jadikan waqaf satu 'jenama dalam keluarga' [ 6h ago ]

Bayi perempuan lapan bulan antara 19 korban demam denggi di Johor

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar (dua, kanan) melihat bentuk jentik-jentik Aedes melalui mikroskop sambil diperhatikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Amran A Rahman (kanan) ketika melawat ruang pameran Jabatan Kesihatan Negeri Johor selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda Height hari ini.
JOHOR BAHRU, 8 Sept -- Seorang bayi perempuan berumur lapan bulan antara 19 mangsa demam denggi yang maut di negeri ini sejak Januari tahun ini hingga bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata selain bayi terbabit, wabak itu turut meragut nyawa seorang wanita berumur 95 tahun.

Beliau berkata daripada 19 kematian berkenaan, lapan dilaporkan berlaku di daerah ini, diikuti Kluang dan beberapa daerah lain.

Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 7,761 kes demam denggi dilaporkan dan ia dilihat meningkat sebanyak 101 peratus berbanding 3,857 kes dengan 12 kematian, tahun lepas.

“Kita kesan 65 kawasan hot spot denggi di Johor dan Johor Bahru adalah kawasan tertinggi.

“Sebenarnya kesedaran terhadap denggi itu yang penting. Sama ada kita peka atau pun tidak, tidak berpengetahuan, tidak peduli atau tidak sedar, sikap beginilah yang menyebabkan kita berisiko untuk dijangkiti virus denggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Johor 2019, di sini, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan negeri bagi menangani kes denggi dengan bantuan media dan pelbagai pihak, namun, tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat akan menyebabkan usaha itu tidak akan berjaya.

Beliau berkata, malahan menurut statistik Pasukan Kawalan Denggi Negeri Johor, sebanyak 13,700 premis kediaman rumah diperiksa dan sebahagian daripadanya berpotensi pembiakan aedes.

“Sebanyak 1,371 tanah lot kosong, lorong belakang dan bahu jalan yang diperiksa turut menunjukkan positif pembiakan aedes.

“Begitu juga di tempat pembuangan sampah, sebanyak 378 daripadanya positif jentik-jentik, 55 rumah ibadat, 28 taman rekreasi dan 380 tempat tumpuan awam juga didapati positif pembiakan aedes,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai supaya mengutamakan kebersihan dengan melakukan pemeriksaan tempat-tempat berisiko pembiakan aedes di sekitar kawasan masing-masing dan mengamalkan budaya hidup sihat bagi membendung wabak daripada berlarutan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu