Advancecon peroleh dua kontrak bernilai RM50.5 juta [ 2m ago ]

Taman Burung Labuan bakal berwajah baru

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (dua, kanan) bergambar bersama para pemenang Kategori 70 Kilometer Terbuka Wanita bagi 'Labuan Bird Park Eco Ultra Marathon' yang dimenangi pelari Mailin Salungin Ripau (empat, kiri) hari ini. Tempat kedua diraih peserta Brunei Shazana Nabilah Ayob (tiga, kiri) dan tempat ketiga peserta Marjilah Rebid (tiga, kanan). Turut kelihatan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan Dr Marysia James Abie (dua, kiri).
LABUAN, 8 Sept -- Kemudahan di Taman Burung Labuan akan ditambah baik bagi meningkatkan tarikannya berikutan kejayaan mengadakan beberapa acara domestik dan antarabangsa di sana baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata taman seluas 6.9 hektar itu akan menerima 220 spesies burung tahun ini dan tahun depan untuk menambah 600 ekor burung yang kebanyakannya berasal dari kepulauan Borneo.

"Beberapa acara yang dianjurkan secara serentak selama dua hari berturut-turut telah berjaya dengan sembilan penyertaan asing mengambil bahagian.

"Kami menyedari mengenai kekurangan infrastruktur di taman burung dan banyak lagi perlu dilakukan untuk memberikan wajah baru kepada persekitarannya. Kami harap ini akan berlaku dalam masa setahun, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Taman Burung Labuan di sini, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya menerusi Perbadanan Labuan akan menyokong pembangunan masa depan Taman Burung Labuan untuk menjadikannya sebagai taman yang wajib dikunjungi pelawat tempatan dan asing.

Khalid berkata sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk taman berkenaan pada tahun ini bagi menambah baik kemudahannya dan kementerian sedang mempertimbangkan peruntukan lain tahun depan.

"Kami menjangka landskap dan pentas persembahan burung akan dibina tidak lama lagi," katanya.

Antara program yang telah diadakan ialah Asia Trail Master-Sanctioned Labuan Bird Park Eco Ultra Marathon, Treasure Hunt, Pertandingan Meniru Suara Burung dan Pertandingan Kucing Cantik.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu