Kerajaan lebih konservatif dalam mengurus pembiayaan awam - Kenanga Research [ 11m ago ]

Pesta Air Kuala Perlis 2019 tarik lebih 25,000 pengunjung

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (lima, kiri) dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid (enam, kiri) berkenan bergambar bersama pasukan Kampung Seberang Jaya yang menjadi Juara Keseluruhan Pesta Air Kuala Perlis 2019 hari ini.
KUALA PERLIS, 8 Sept -- Penganjuran Pesta Air Kuala Perlis 2019 yang masuk edisi keenam sejak 2014 berjaya menarik lebih 25,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pesta Air Kuala Perlis yang diadakan selama dua hari sejak semalam di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini, menampilkan acara sukan air seperti pertandingan lumba perahu panjang, panjat tiang licin, pukul bantal, menjahit pukat dan menjala ikan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa demi menaikkan industri pelancongan di negeri ini.

“Penambahan kehadiran pengunjung dan pelancong ke negeri ini membantu kepada limpahan ekonomi penduduk di sini serta menambah baik produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga akan terus menambah baik dan meningkatkan promosi-promosi termasuk berkaitan pelancongan di negeri ini,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurut Azlan, kerajaan negeri juga bercadang untuk menganjurkan Pesta Layang-Layang di negeri ini sebagai salah satu lagi tarikan pelancong.

Setakat ini, tiga acara telah dimasukkan ke dalam Kalender Pelancongan Perlis sebagai acara tahunan iaitu Perlis Marathon, Pesta Angin Timur dan Pesta Air Kuala Perlis.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat hadir dan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.

Kampung Sebarang Jaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan menerima piala pusingan daripada Tuanku Syed Sirajuddin.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu