Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 4m ago ]

Bekas penolong jurulatih Kelantan meninggal dunia

Tarikh kemaskini: 08/09/2019
KOTA BHARU, 8 Sept (Bernama) -- Bekas penolong jurulatih Kelantan Shamsudin Awang, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Kampung Gunong, Bachok, pada pukul 7.15 petang tadi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Hussin Deraman ketika dihubungi Bernama malam ini, mengesahkan perkara berkenaan.

"Mengikut maklumat awal Allahyarham meninggal disebabkan serangan jantung, selain turut mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan malam ini, di kampung halamannya dan KAFA mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Sementara itu, KAFA dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Shamsudin yang lebih dikenali panggilan Che Din Gunong atau Soud dalam kalangan penggiat bola sepak tempatan.

KAFA dalam kenyataan sama berkata Allahyarham merupakan antara jurulatih, yang pernah bekerjasama rapat dengan persatuan tersebut suatu ketika dahulu.

"Allahyarham juga pernah berada dalam barisan kejurulatihan skuad Piala Belia Kelantan, bersama seorang lagi jurulatih, Allahyarham Abdul Rahim Ahmad, pada 2002 dan 2003.

"Sepanjang pembabitan dalam bola sepak, Allahyarham Shamsudin beraksi selaku penyerang negeri bersama rakan seangkatannya seperti Nik Fauzi Nik Hassan, Ramli Abdullah dan Yassin Mohd Noor.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu