Fuziah: K'jaan mahu jadikan waqaf satu 'jenama dalam keluarga' [ 6h ago ]

Eversendai peroleh kontrak baharu bernilai RM288 juta

Tarikh kemaskini: 10/09/2019
KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Eversendai Corporation Bhd memperoleh kontrak baharu bernilai RM288 juta di Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, India, Singapura dan Netherlands meskipun persekitaran ekonomi global mencabar serta tidak menentu.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata di India, pihaknya mendapat tiga kontrak baharu melibatkan kerja keluli berstruktur bagi tiga menara bangunan komersial di Hyderabad, selain bangunan terminal utama lapangan terbang dan struktur dandang ITC di Chennai.

Eversendai juga memperoleh kerja keluli berstruktur bagi Saudi Pavilion untuk Ekspo Dubai 2020 di Dubai di samping projek jambatan gantung di Wilayah Kewangan Raja Abdullah di Arab Saudi.

Syarikat itu turut meraih kontrak bagi kejuruteraan serta fabrikasi jaket dan cerucuk di Netherlands selain projek pusat data di Singapura.

Nilai perolehan kontrak dalam tangan yang belum disiapkan syarikat itu adalah RM2.39 bilion.

“Perolehan kontrak ini mengukuhkan lagi kedudukan Eversendai sebagai peneraju industri bagi kerja keluli berstruktur siap guna yang kompleks untuk bangunan tinggi, struktur komposit, struktur panjang, jambatan dan kilang industri di seluruh dunia.

“Ini adalah bukti kepada tawaran unik Eversendai kepada pasaran,” kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri A K Nathan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu