Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 2h ago ]

Sukuk mampan Edra Solar miliki perbezaan bawa tiga jenis penarafan

Tarikh kemaskini: 10/09/2019
KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) Asean bernilai RM245 juta cadangan Edra Solar Sdn Bhd bukan sahaja sebagai perintis dalam elemen hijau dan sosial tetapi mempunyai perbezaan dengan membawa gabungan tiga jenis penarafan -- satu lagi pertama dalam pasaran.

Sukuk mampan yang dicadangkan itu mempunyai penarafan kredit, penarafan manfaat kepada alam sekitar dan penarafan manfaat kepada sosial, menurut RAM Consultancy Services Sdn Bhd (RAMC) dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RAMC Promod Dass berkata sukuk SRI Edra Solar merupakan urus niaga pertama yang diberi penarafan Manfaat kepada Sosial RAMC dan menyumbang kepada inovasi yang seterusnya dalam kewangan mampan.

“Bon sosial/penilaian sukuk RAMC mewakili penilaian kuantitatif dan kualitatif sumbangan projek kepada penyelesaian sosial yang berpotensi," kata Dass.

Beliau berkata RAMC mempertimbangkan kepentingan strategik projek itu dan manfaat sosial dari segi langsung dan boleh diukur manakala skala, kualiti dan tempoh projek itu juga menjadi elemen utama dalam kriteria RAMC.

Pada Jumaat lepas, RAM Ratings memberikan penarafan kredit AA2/Stabil awal kepada cadangan sukuk mampan itu.

Pada masa sama, RAMC -- penyedia analisis perkhidmatan kemampanan serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) -- memberikan penarafan Manfaat kepada Alam Sekitar Tahap-1 (Tier-1 EB) dan Manfaat kepada Sosial Tahap-3 (Tier-3 SB) kepada cadangan terbitan itu.

RAMC berkata kumpulan RAM merupakan penyumbang yang aktif kepada pembangunan kewangan hijau dan mampan di peringkat global.

Pada 26 Mei, 2016, RAM Ratings menyertai barisan enam perintis penandatangan agensi penarafan kredit global kepada Prinsip yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kenyataan Mengenai ESG dalam Penarafan Kredit Pelaburan Bertanggungjawab.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu