TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 9m ago ]

MTEM mohon MOF timbang semula keputusan gugurkan 33 syarikat bumiputera dari senarai syarikat KPB

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memohon Kementerian Kewangan (MOF) menimbang semula keputusan menggugurkan 33 syarikat perabot Bumiputera daripada senarai syarikat Kontrak Panel Berpusat (KPB) baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, MTEM berkata tindakan tersebut dilihat tidak adil kepada syarikat-syarikat tersebut, yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera Malaysia (PETRA).

Katanya penguguran tersebut diketahui melalui kemas kini senarai syarikat panel KPB bagi bekalan dan penghantaran perabot pelbagai jenis kepada semua Agensi Kerajaan di Semenanjung Malaysia.

“Sebanyak 33 syarikat atau 38 peratus daripada 87 syarikat tersenarai di bawah pembekalan perabot bagi agensi kerajaan digugurkan daripada senarai tersebut berkuat kuasa 15 Julai 2019. Pengguguran ini dibuat ekoran kegagalan syarikat KPB memperoleh persijilan Sijil Perkhidmatan Produk (PCS) dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Pengguguran oleh pihak Perolehan MOF ini tidak langsung mengambil kira alasan, status pengujian serta pihak yang bersalah dalam konteks ini, tetapi mengambil jalan mudah dengan terus menggugurkan 33 syarikat ini hanya kerana tidak memperoleh sijil PCS sebelum tarikh 28 Jun 2019,” katanya.

Menurut MTEM, pengguguran ini bersifat zalim kerana tempoh pengujian serta jangka masa perolehan sijil PCS adalah di luar kawalan syarikat, sedangkan syarikat-syarikat ini telah mematuhi kesemua proses dan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh FRIM.

Katanya kesemua syarikat yang digugurkan ini mempunyai kilang pembuatan perabot yang telah beroperasi melebihi 20 tahun, dengan pengalaman luas serta pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperoleh, namun gagal memperoleh sijil PCS sebelum tarikh yang ditetapkan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu