Felda dalam proses nilai kerosakan akibat banjir di Kelantan [ 32m ago ]

Jawatankuasa Bencana N. Sembilan digerakkan jika bacaan IPU melebihi 150

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
SEREMBAN, 11 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Bencana Negeri Sembilah akan digerakkan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini mencatatkan bacaan melebihi 150.

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya sedang memantau bacaan IPU dengan rapi dan Jawatankuasa Bencana Negeri akan digerakkan sekiranya bacaannya terus meningkat.

Beliau berkata setakat pukul 3.00 petang ini bacaan IPU yang dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di laman web http://apims.doe.gov.my menunjukkan tiga stesen di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat, yang terdiri daripada stesen Nilai 159, Seremban (134) dan Port Dickson (108).

Menurutnya sepanjang pemantauan dari hari ke hari sejak fenomena jerebu melanda negara, tidak ada titik panas (hotspot) dikesan di Negeri Sembilan.

"Sebenarnya titik panas ini di luar Negeri Sembilan, bermakna kebakaran berpunca dari luar Negeri Sembilan. Cuma, saya ingin nasihatkan penduduk negeri ini supaya tidak melakukan kebakaran terbuka. Kita membuat pemantauan hari ke hari dan jika ada aduan, kita akan siasat dan ambil tindakan,”.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu